Peniaga durian dikompaun RM1,000 gagal pamer harga
KUANTAN - Seorang peniaga durian dikenakan kompaun RM1,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jerantut kerana gagal mempamerkan harga raja buah itu semalam.
Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, kesalahan tersebut dikesan dalam operasi yang dijalankan di Kampung Batu Balai, Jerantut kira-kira 9 pagi.
Menurutnya, sewaktu pemeriksaan, peniaga berusia 38 tahun itu gagal mempamerkan tanda harga membabitkan 400 biji durian seberat 500 kilogram.
"Jadi kita telah mengambil tindakan mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993, dengan mengenakan kompaun sebanyak RM1,000.
"Kita juga memberikan nasihat dan panduan supaya dia tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Mubin menasihatkan peniaga agar mempamerkan tanda harga semua jenis buah-buahan yang dijual dan menggunakan alat penimbang yang sah.
"Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil ke atas mereka atas kesalahan tersebut.
"Kami akan kerap mengadakan pemeriksaan ke atas peniaga buah-buahan di semua lokasi Jerantut dan Lipis bagi jaminan keselesaan pengguna berbelanja raja buah itu termasuk buah-buahan lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!