Syukur pilih 'peminat'?
KUALA TERENGGANU - Bila dah popular, banyak hati yang perlu dijaga.
Itulah yang dialami remaja tular, Muhammad Syukur Khamis, 14 yang kini dikatakan 'sombong' dan memilih 'peminat' untuk bertemu dengannya.
Benar atau tidak dakwaan itu? pihak media mendapatkan kepastian daripada empunya badan.
"Ya, memang itu yang berlaku sebab saya terpaksa dahulukan temujanji dengan mereka yang terlebih dahulu menempah untuk mengambil rakaman saya.
"Boleh dikatakan sekarang, setiap hari ada temujanji yang telah dijadualkan untuk saya.
"Jadi, saya kena pilih masa sesuai untuk berjumpa orang ramai yang ingin merakam gambar," jelasnya ketika ditemui pada majlis jamuan bagi meraikan beliau dan jurugambar anjuran Martion Kuala Terengganu, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.
Sementara itu, abangnya, Muhammad Alias Khamis, 29 berkata, jadual kehidupan adiknya itu kini terlalu padat.
"Sebenarnya kita jaga dia sebab sekarang dia sekolah, maklumlah waktu persekolahan tidak menentu sekarang ada balik jam 2 petang ada kala jam 4 petang.
"Biasa selepas balik sekolah, petang tu dia rehat sekejap sahaja dan akan siapkan kerja sekolah, kalau tak siap akan dia akan sambung belah malam.
"Dalam jam 6 hingga 7 petang pula dia akan ke kandang kerbau peliharaan di Kampung Kubang Bujuk.
"Kalau sebelah petang tu orang datang nak bergambar, tiada masalah,"katanya.
Katanya, dalam sehari Syukur akan menerima kunjungan tiga hingga empat buah keluarga di rumah dan seramai 200 hingga 300 orang di kandang kerbau pada hujung minggu.
Muhammad Alias berkata, sekiranya terdapat peminat yang berkunjung ke rumah di Kampung Banggol Katong, Syukur tidak menolak ajakan untuk merakam gambar.
"Kalau datang ke rumah, boleh juga ambil gambar sebab kat rumah pun ada kerbau peliharaan.
"Pada sebelah petang pula, kalau orang nak bergambar pun, kita jaga juga dia sebab sebelah malam dia nak buat homework," katanya.
Alias berkata, dia berharap peminat yang ingin bertemu Syukur dapat memahami keadaan Syukur.
"Bukan kata dia sombong, tapi dia masih budak lagi jadi kasihan dia sebab dia perlu ke sekolah.
"Dia juga perlu mengulangi rutin yang sama setiap hari. Kita bimbang dia tertinggal pelajaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!