Tambang teksi RM22, Uncle Kentang bayar RM400
PUCHONG - Pengalaman dikongsi aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang membayar tambang teksi sebanyak RM400 dari Puchong ke Kuala Lumpur mengundang pelbagai reaksi netizen.
Melalui perkongsian dalam laman Facebooknya, Chee Heng bertindak memberikan sejumlah wang tersebut selepas tersentuh dengan kesungguhan pemandu berkenaan yang bekerja keras untuk memenuhi keperluan pendidikan anaknya.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan tersebut, pemandu teksi itu memberitahu perlu 'pulun' mengambil penumpang pada hari tersebut selepas anaknya meminta dibelikan kamus dan beberapa buku pelajaran lain.
“Pemandu teksi beritahu dia kena ambil penumpang teksi ‘kaw kaw’. Saya tanya mengapa? Dia beritahu anak perempuannya di Tingkatan Enam meminta wang untuk membeli kamus dan beberapa buku lain.
“Pemandu teksi ini berjuang untuk memenuhi keperluan dan berjuang untuk membeli buku-buku melalui pendapatan yang sedikit,” katanya.
Chee Heng berkata, beliau kemudian bertanya jumlah yang diperlukan untuk membeli keperluan tersebut sebelum pemandu teksi memberitahu kesemuanya berjumlah hampir RM400.
“Saya bertanya pada diri sendiri bagaimana pak cik ini dapat mengumpul RM400 membeli buku untuk anak perempuannya. Kasihan dia.
“Bila sampai ke destinasi saya ambil dompet dan beri dia RM400 walaupun tambang RM22 sahaja. Mengapa? Dia tak kenakan tambang mahal, dia penuhi permintaan supaya gunakan meter dan saya mahu hentikan kebimbangan kerana bila dia cari lebih banyak tambang, mungkin berakhir dengan kemalangan,” katanya.
Chee Heng berkata, walaupun lelaki tersebut hanya pemandu teksi, namun individu tersebut tidak melupakan soal pendidikan untuk anak-anaknya.
Jelasnya, RM400 merupakan jumlah kecil untuk menyelesaikan 'masalah yang besar' selain menggembirakan mereka yang memerlukan.
”Saya buat begitu sebab ada wang yang cukup selain mahu beri senyuman kepadanya. Anaknya mesti gembira, isteri pun mesti gembira dan kebahagiaan akan memenuhi keluarga tersebut.
“Ada orang cakap nanti akan ada orang kesempatan kat saya, saya cuma jawab husnuzonlah (bersangka baik),” katanya lagi.
Status berkenaan yang turut dimuat naik di Facebooknya menerima 1,200 emoji, 70 komen dan 36 perkongsian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!