Tiga remaja ditahan asyik ‘wheelie’
TELUK INTAN - Sekumpulan tiga remaja merempit dan menunggang dengan melakukan aksi ‘wheelie’ mengundang padah apabila dicekup dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Chenderong Balai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, ketiga-tiga pelajar sekolah berusia 14 dan 15 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sekitar jam 6.30 petang.
“Siasatan mendapati mereka masih bersekolah dan tidak mempunyai lesen memandu.
"Ketika ditahan mereka sedang berlumba sambil melakukan aksi mengangkat tayar hadapan.
“Aksi itu bukan sahaja membahayakan diri mereka malah boleh melibatkan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, remaja itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga mereka dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai proses dokumentasi.
Kamarudin menegaskan, pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Hilir Perak akan terus memantau kegiatan samseng jalanan di daerah itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang.
“Walaupun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), polis akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan undang-undang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!