IMM13 jadi dokumen perjalanan tunggal warga asing di Sabah
SHAH ALAM - Pas IMM13 bakal menjadi dokumen perjalanan tunggal untuk warga asing dari Filipina di Sabah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas melawat, mendengar dan berbincang dengan semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri di negeri tersebut, memetik laporan Free Malaysia Today,
“Kerajaan akan menyelaraskan semula hampir 136,000 pemegang pelbagai kad pendaftaran warga asing di Sabah seperti HIF22, kad Burong-Burong, sijil banci dan IMM13.
“Dengan penyelarasan ini, IMM13 bakal menjadi dokumen pengenalan tunggal kepada warga asing dari Filipina di Sabah secara berperingkat,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, penyelarasan itu tidak melibatkan pengeluaran IMM13 yang baharu dan tidak melibatkan mereka yang tidak ada sebarang rekod dengan pihak berkuasa.
“Terima kasih kepada semua agensi polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi kawalan sempadan Malaysia yang terlibat.
“Kedaulatan dan keselamatan negara akan sentiasa kita pertahankan,” katanya.
Untuk rekod, pas IMM13 ialah dokumen pelawat yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada pelarian perang dari selatan Filipina antara 1972 dan 1984.
Pemegang pas IMM3 dibenarkan tinggal dan bekerja di Sabah dan Labuan tanpa perlu memohon permit kerja.
Mereka juga dibenarkan hadir ke sekolah dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Kad Burong-Burong dan sijil banci masing-masing dikeluarkan kepada pendatang asing pada era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Sabah (Berjaya) dan pasukan petugas khas persekutuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!