Cincin 20 tahun tersekat di jari
BATU PAHAT - Seorang warga emas tidak dapat menahan kesakitan apabila cincin yang dipakai sejak 20 tahun lalu tersangkut di jarinya.
Mangsa yang berusia 86 tahun pada mulanya cuba mengeluarkan cincin tersebut kira-kira jam 2 petang apabila jarinya membengkak tetapi tidak berjaya.
Akibat tidak dapat menahan sakit, lelaki berkenaan kemudian datang ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit dekat sini pada jam 2.42 petang.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Mohd Azri Norssham berkata, dua anggota ditugaskan memotong cincin berkenaan menggunakan peralatan khas dalam tempoh kira-kira lima minit.
"Cincin itu berjaya dipotong dan operasi tamat jam 3 petang. Warga emas itu memberitahu, sebelum datang ke BBP Rengit pelbagai usaha sudah dilakukan namun gagal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!