Kendali sisa klinikal cara selamat
ALOR SETAR - Semua klinik swasta mahupun kerajaan disaran meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengendalikan sisa klinikal secara betul, selamat dan mengikut peraturan ditetapkan.
Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, ini kerana masih terdapat segelintir premis gagal mematuhi garis panduan pembungkusan sisa klinikal yang ditetapkan.
Menurutnya, walaupun jumlahnya kecil, namun ia penting untuk kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.
“Klinik kerajaan juga sedang pertimbangkan untuk urus sisa klinikal secara terus, di mana sebelum ini sisa itu dihantar ke hospital daerah berdekatan untuk dilupuskan,” katanya, selepas merasmikan program jelajah latihan pengurusan sisa klinikal kepada klinik kerajaan dan swasta.
Dr Norhizan berkata, bukan semua 60 klinik kesihatan di Kedah terlibat bawah program Perkhidmatan Sokongan Klinik (PSK), susulan kosnya agak tinggi.
“Kebanyakan sisa dari klinik jumlahnya sedikit dan menyebabkan operasi kutipan tinggi. Kita akan naik taraf sistem pengurusan sedia ada termasuk cadangan gunakan khidmat Kumpulan Cenviro, yang kini tawarkan pakej kepada klinik kerajaan untuk memungut, merawat dan melupuskan sisa klinikal terus dari klinik,” katanya.
Menurutnya, kecekapan mengurus sisa klinikal penting kerana perlu memastikan penyimpanan tidak bocor.
“Semua pengeluar sisa klinikal harus tingkatkan kesedaran dan mementingkan aspek pengurusan cekap agar tidak mencemar alam sekitar. Mereka hendaklah rujuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk dapatkan cadangan pelupusan terbaik,” katanya.
Dr Norhizan berkata, ia juga antara syarat penting untuk klinik swasta memperbaharui lesen atau buka klinik baharu.
“Klinik perlu simpan rekod inventori pengeluaran sisa klinikal untuk semakan Jabatan Kesihatan Negeri dan JAS. Jika sudah miliki sijil latihan pengurusan sisa klinikal, ia mudahkan permohonan,” katanya.
Manakala, Timbalan Pengarah JAS Kedah, Zulfadzli Zakaria berkata, pihaknya giat memantau premis pengeluaran sisa klinikal untuk meningkatkan kesedaran serta mengurus secara komprehensif.
“Tumpuan turut diberikan kepada klinik swasta, mereka boleh sertai latihan memproses pelupusan sisa klinikal. Setakat ini, tiada kes pelanggaran akta yang serius direkodkan,” katanya.
Sementara, Ketua Jabatan Sisa Klinikal Kumpulan Cenviro, Amirul Bahri Malek berkata, pihaknya menerima banyak laporan berkaitan pembungkusan sisa klinikal yang tidak mengikut garis panduan.
“Program ini bantu tingkat kesedaran petugas perubatan tentang risiko jangkitan kuman dan kecederaan akibat kecuaian jika sisa klinikal tidak diurus dengan baik,” katanya.
Menurutnya, program anjuran anak syarikat Khazanah Nasional Berhad ini adalah bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam menguruskan sisa klinikal secara selamat dan teratur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!