Hajat arwah lihat pusat tahfiz tertunai

Muaz (kanan) bersama pelajar Maahad Tahfiz Darul Mustafa di depan tahfiz dibina atas tanah diwakafkan Allahyarham Nawawi.
Muaz (kanan) bersama pelajar Maahad Tahfiz Darul Mustafa di depan tahfiz dibina atas tanah diwakafkan Allahyarham Nawawi.
A
A
A

BALING - Hasrat seorang warga emas mahu melihat tanaf diwakafnya dibina bangunan tahfiz sebelum meninggal dunia tertunai.

Warga emas dikenali Nawawi Salleh dari Kampung Sungai Limau menghembus nafas terakhir selepas datang melihat tahfiz diberi nama Maahad Tahfiz Darul Mustafa bertempat di Kampung Sungai Limau.

Mudirnya, Muaz Yaacob berkata, tanah berkenaan telah diwakafkan Nawawi sejak tiga tahun lalu.

“Haji Nawawi datang berjumpa saya dan beritahu untuk wakaf sebidang tanah. Arwah kata mahu melihat tahfiz dibina di atas tanah diwakafkan sebelum meninggal dunia.

“Haji Nawawi ada datang ke sini untuk melihat binaan bangunan tahfiz. Waktu itu penglihatannya kabur disebabkan penyakit kencing manis dan sakit buah pinggang.

Katanya, kira-kira dua atau tiga minggu selepas itu arwah meninggal dunia.

Beliau berkata, pelajar mulai berpindah ke bangunan baharu seminggu lalu dengan jumlah pelajar terkini ialah 25 orang.

“Bilik tidur dan pelajar telah siap, kantin dan sebuah rumah guru masih lagi dalam pembinaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga masih mencari dana untuk bina surau dan sebuah lagi rumah guru. Kos surau berharga RM80,000 dan rumah guru kosnya RM60,000,” katanya.

Katanya, pelajar setakat ini bersolat di bangunan belajar.

“Setiap bulan pengurusan Darul Mustafa memerlukan kos berjumlah RM15,000.

“Kami tidak mengenakan sebarang yuran kepada pelajar-pelajar luar negara dan fakir miskin yang menuntut ilmu agama di sini. Ada ahli perniagaan membantu menderma bagi pengurusan tahfiz ini, tetapi jika boleh kita tidak mahu membebankannya,” katanya.

Untuk sumbangan boleh disalurkan melalui nombor akaun Maybank 555014216253 atas Maahad Tahfiz Darul Mustafa.

Orang ramai boleh hubungi Ustaz Muaz di talian 013-4822701 dan Ustaz Zaid Ab Mokti di talian 010-3178047.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!