Menepuk air di dulang

A
A
A

PILIHAN untuk menyimpan sesuatu rahsia yang berlaku dalam organisasi terletak di tangan seseorang individu dan ia juga bergantung kepada prinsip diri yang sering dikaitkan dengan integriti dan akauntabiliti.

Pastinya, risiko bakal menanti jika kita memilih bercerita kepada pihak luar segala kejelikan yang berlaku dalam organisasi.

Antaranya, jika siasatan dilakukan maka individu boleh dikenakan tindakan, markah prestasinya akan terjejas atau sekurang-kurangnya memalukan dirinya sendiri.

Sebarang cerita sama ada telah atau belum disahkan kebenarannya yang dihebahkan kepada pihak luar boleh menjejaskan nama baik dan imej organisasi.

Dalam jangka masa panjang, ia memberi impak besar kepada masa depan organisasi. Paling dibimbangi ia akan menjejaskan produktiviti dan menyebabkan organisasi ditutup.

Teori dan kajian dalam organisasi menemukan satu aplikasi komunikasi tidak formal yang dikenali sebagai khabar angin atau ‘grapevine’, yang wajar dipertimbangkan kepentingannya dalam mempengaruhi hala tuju organisasi.

Khabar angin boleh dibezakan daripada jenis-jenis komunikasi formal yang lain kerana ia mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Antaranya, khabar angin menyalurkan mesej berbentuk lisan dengan pantas dalam organisasi, berorientasikan manusia, dan dikawal serta didorong oleh pekerja.

Pengkaji telah meneliti khabar angin dan mendapati wujud sekurang-kurangnya dua bentuk rangkaian khabar angin iaitu rantaian gosip dan rantaian kelompok.

Artikel Berkaitan:

Dalam rantaian gosip, mesej berpunca daripada satu sumber atau seorang individu yang menyebarkannya kepada sekumpulan individu lain.

Dalam rantaian kelompok pula, terdapat beberapa sumber atau orang yang bertanggungjawab menyebarkan mesej.

Akibat terlalu asyik dan seronok berkongsi cerita dengan orang luar tentang hal dalaman organisasi, kita mungkin terlupa yang kita sedang membuka pekung di dada dan menyebabkan ia tular secara pantas ke pengetahuan dunia luar.

Penularan khabar angin boleh dikaitkan dengan istilah yang semakin hangat masa kini iaitu menggetah bawang.

Kita harus menerima hakikat bahawa aktiviti menggetah bawang dan bergosip boleh berlaku di mana-mana jua dalam organisasi melalui pelbagai cara.

Dalam era perkembangan teknologi komunikasi, aktiviti menggetah bawang telah dinaik taraf melalui gajet pintar dan tidak hanya berlaku secara bersemuka.

Penularan khabar angin dalam sesebuah organisasi menggambarkan beberapa keadaan.

Pertama, ia menjadi petunjuk tentang apa yang sebenarnya telah terjadi dalam organisasi. Jika warga tidak berpuas hati dengan tugas dan persekitaran organisasi mereka, nescaya mereka akan berbual atau berbincang mengenainya walaupun dalam situasi yang tidak formal.

Kedua, khabar angin menggambarkan luahan rasa warga terhadap organisasi. Luahan ini berkemungkinan boleh membantu pengurus membuat penambahbaikan untuk jangka panjang.

Ketiga, khabar angin yang tular boleh mempengaruhi persekitaran sosial dan kualiti kerja. Khabar angin yang tersebar sedikit sebanyak mengganggu emosi dan moral warga secara keseluruhannya.

Ia juga boleh mencetuskan sempadan dalam menggariskan norma-norma sosial di tempat kerja seperti apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh seseorang pekerja.

Keempat, penularan khabar angin menunjukkan kelemahan organisasi mengoptimumkan penggunaan saluran komunikasi formal untuk menyalurkan maklumat dalam kalangan warganya.

Khabar angin yang disebarkan oleh warga organisasi sama ada kepada pihak dalam dan luar organisasi perlu difikirkan sedalam-dalamnya sebelum ia menjadi barah.

Warga ada kalanya memanipulasikan maklumat dalam khabar angin berdasarkan kepentingan diri mereka sendiri. Mereka mencipta fakta, bukan melaporkan apa yang sepatutnya.

Kebiasaannya tiada pihak yang mahu bertanggungjawab dalam penyebaran khabar angin. Justeru, harus diingat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Menceritakan cacat cela organisasi kepada orang luar, akhirnya diri sendiri yang akan menanggung akibatnya.

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!