Empat sesat cari orkid dalam hutan ditemukan selamat

Empat penduduk kampung yang sesat ketika mencari orkid hutan berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dalam SAR dijalankan di Batu Kurau semalam. - Foto JBPM Perak
Empat penduduk kampung yang sesat ketika mencari orkid hutan berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dalam SAR dijalankan di Batu Kurau semalam. - Foto JBPM Perak
A
A
A

BATU KURAU - Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau dan Taiping mengambil masa lebih tujuh jam untuk mencari dan menyelamat (SAR) empat individu termasuk tiga wanita yang tersesat di dalam hutan di Batu 23, Rendang Panjang di sini semalam.

Dalam kejadian itu, sepasang suami isteri berusia 71 tahun dan 42 tahun bersama dua jiran mereka berusia 60 dan 47 tahun melakukan aktiviti mencari orkid hutan.

Bagaimanapun, mereka dipercayai gagal mencari jalan keluar berikutan keadaan semakin gelap.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 7.16 petang.

"Pasukan yang tiba di lokasi kejadian diarahkan oleh komander operasi, Mohamed Habib Mohamed Dali membuat kerja mencari kesemua mangsa.

"Pencarian dilakukan selepas mangsa berjaya dihubungi menerusi telefon bimbit. Kesemuanya ditemui dalam jarak lima kilometer dari pondok kawalan bomba pada jam 12.35 tengah malam," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota bertindak menemani dan membawa keluar mangsa tersebut dan seterusnya diberi rawatan awal akibat keletihan.

Artikel Berkaitan:

"Operasi SAR yang dijalankan turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.45 pagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!