Dua ADUN Sabah umum keluar parti

ADUN Sugut, Datuk James Ratib tiba di pekarangan rumah ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury di Jalan Lintas Penampang di sini hari ini.Kedua-dua ADUN UPKO ini dijangka mengadakan sidang media hari ini berkaitan hala tuju politik mereka. --fotoBERNAMA
ADUN Sugut, Datuk James Ratib tiba di pekarangan rumah ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury di Jalan Lintas Penampang di sini hari ini.Kedua-dua ADUN UPKO ini dijangka mengadakan sidang media hari ini berkaitan hala tuju politik mereka. --fotoBERNAMA
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), parti blok kerajaan negeri semalam mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.

ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib kini menjadi ADUN Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN) demi pembangunan kawasan mereka.

Pengumuman berkenaan dibuat dalam satu sidang akhbar diadakan di kediaman Limus di Jalan Pintas, Penampang dekat sini yang turut dihadiri beberapa penyokong mereka.

Sebelum ini, Limus merupakan Naib Presiden UPKO dan Ketua UPKO Bahagian Beaufort manakala James selaku Ahli Majlis Tertinggi UPKO. Limus berkata, keputusan beliau meninggalkan UPKO adalah kerana telah hilang kepercayaan terhadap pucuk kepimpinan parti ketika ini yang tidak konsisten dalam perjuangan dan matlamat hala tuju parti.

Perkembangan politik tersebut menyaksikan kerajaan Sabah diterajui Warisan masih kekal memerintah negeri itu.

Kedudukan kerusi terkini blok kerajaan mempunyai 45 kerusi termasuk empat ADUN dilantik manakala blok pembangkang 20 kerusi termasuk seorang ADUN dilantik.

DUN Sabah ketika ini mempunyai 65 kerusi termasuk lima ADUN dilantik dan majoriti mudah semasa adalah 33 kerusi.

Blok kerajaan terdiri daripada Warisan 31 kerusi, DAP (enam), UPKO (dua), PKR (dua) dan empat ADUN dilantik.

Artikel Berkaitan:

Blok pembangkang pula meliputi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sembilan kerusi, Parti Bersatu Sabah (empat), STAR (tiga), Bebas (dua), UMNO (satu) dan satu kerusi ADUN dilantik.

“Buat masa ini, saya akan menjadi ADUN Bebas dan akan berjuang demi kepentingan rakyat di kawasan saya yang wakili.

“Setelah memikirkan secara mendalam dan rasional, langkah terbaik yang perlu saya buat adalah meninggalkan UPKO demi kebaikan, kemajuan dan masa depan rakyat di kawasan saya,” kata Limus yang sudah menyertai parti itu lebih 20 tahun.

Beliau berkata, parti itu sudah tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan pimpinan PN dan menambah kata tidak wajar beliau dan rakan-rakannya terus bersama dengan kerajaan negeri yang menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, Limus masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti. Sementara itu, James berkata, beliau mengambil keputusan keluar UPKO yang disertainya sejak dua tahun lalu berikutan kerajaan negeri pimpinan Warisan kini tidak sehaluan dengan kerajaan PN.

“Saya yakin kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membawa perubahan landskap politik negara dan Sabah,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!