Rakyat mahu Kuala Lumpur bersih daripada PATI
KUALA LUMPUR - “Harap-harap Kuala Lumpur terus bersih daripada kebanjiran warga asing.”
Itulah antara harapan warga kota berhubung isu peniaga dan pekerja warga asing di Kuala Lumpur.
Majoriti penduduk tempatan yang ditemui Sinar Harian mahukan keadaan pusat bandar raya yang lengang tanpa kehadiran warga asing berkekalan sampai bila-bila.
Malah rata-rata orang ramai yang ditemui bersetuju dengan langkah tegas yang diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap isu penjaja atau peniaga warga asing.
Pekerja kedai pakaian yang hanya mahu dikenali sebagai Maria berkata, suasana agak berbeza sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 19 Mac lalu apabila jumlah warga asing didapati berkurangan.
“Sebelum ini memang ramai warga asing termasuk penjaja dan pengunjung di sekitar kawasan ini.
“Namun setelah penguatkuasaan kerap dijalankan DBKL terhadap penjaja warga asing, mereka (warga asing) semakin berkurangan,” katanya.
Amir Satria Md Rodzi, 31, berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan sekali gus mengembalikan semula kegemilangan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang memberi peluang kepada warganya mencari rezeki.
“Sebelum ini kita lihat sebilangan kecil kawasan di Kuala Lumpur seolah dikuasai oleh golongan warga asing dari segi peniagaan.
“Namun, keadaan kelihatan berubah apabila kerajaan kembali membuka semula sesetengah ekonomi. Nampak ramai warga tempatan mula berniaga. Ini satu perkembangan positif, syabas kepada DBKL,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!