KUALA TERENGGANU - Seorang pengutip buah sawit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol seorang bekas kenalannya yang berusia 14 tahun setelah tiga tahun kejadian berlalu. Tertuduh, Mohd Azim Muda, 30, dari Hulu Terengganu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut. Dia didakwa merogol mangsa ketika kejadian berusia 14 tahun, di sebuah rumah di Kampung Tiruk, di sini jam 10.45 pagi, pada 7 Disember 2017. Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama kerana merogol. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruziani Wan Abdul Razak di hadapan Hakim, Nooriah Osman manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi sehingga prosiding perbicaraan selesai. Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh melaporkan diri dua kali setiap bulan di balai polis berdekatan. Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 22 Julai depan untuk serahan dokumen.