Audi antara kenderaan tersadai ditunda DBKL
KUALA LUMPUR - Sebuah kenderaan jenis Audi antara 10 kenderaan buruk dan tersadai yang diangkut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar Cheras dan pusat bandar raya semalam.
Difahamkan, ada antara kenderaan ditunda yang sudah penuh diselaputi rumput dan lalang.
Unit Media DBKL, menerusi satu kenyataan memaklumkan turut ditunda sebuah kereta jenis Ford di Jalan Pahang, dua kenderaan masing-masing jenis Datsun dan Nissan di Jalan 11/108C, Taman Sungai Besi dan dua kenderaan jenis Proton Wira dan Naza Sutera di Jalan 1/48A, Bandar Baru Sentul.
“Tindakan ke atas kenderaan buruk dan tersadai diteruskan oleh DBKL di beberapa lokasi.
“Empat lagi kenderaan masing-masing jenis Proton Iswara, Proton Wira, Proton Saga dan Perodua Kembara pula ditunda di Jalan Gajus off Jalan Loke Yew, Lorong Tengah off Jalan Cerdas, Taman Connaught; Jalan Prima Setapak 1 off Jalan Genting Klang dan tapak pasar malam Flat Sri Terengganu,” menurut kenyataan itu.
Kesemua kenderaan yang ditunda dibawa ke Depoh Simpanan Taman Connaught, Cheras.
Dalam pada itu, DBKL memohon orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berhubung kenderaan buruk atau tersadai menghubungi Pusat Panggilan Setempat DBKL di 1800 88 3255 atau Pejabat Cawangan DBKL berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!