Tiada ujian saringan Covid-19 percuma di KKM
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan pihaknya tidak melakukan ujian saringan koronavirus (Covid-19) secara percuma di fasiliti kesihatannya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan hanya dilakukan terhadap individu di bawah siasatan (PUI) pesakit di bawah pemantauan (PUS) dan mempunyai kontak rapat dengan kes positif.
"Di KKM kita tidak beri ujian percuma kepada semua orang tetapi melakukan saringan terhadap individu yang mempunyai kriteria tersebut," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, individu yang bukan berada dalam kriteria itu tetapi ingin melakukan saringan Covid-19, boleh melakukannya di makmal swasta.
"Kita sangat mengalu-alukan mereka melakukan ujian saringan di makmal swasta," katanya.
Beliau berkata, kapasiti makmal Covid-19 telah meningkat kepada 53 buah.
"Kita laksanakan ujian saringan sehingga 53,000 sehari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai adakah KKM akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 terhadap rakyat yang ingin melakukannya.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, Jabatan Forensik di fasiliti KKM akan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap mayat sebelum menjalankan bedah siasat.
Katanya, ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan petugas kesihatan dijangkiti sekiranya mayat tersebut positif Covid-19.
"Sebelum laksanakan bedah siasat, ujian saringan Covid-19 akan dilakukan bagi memastikan jenazah tersebut bukan dijangkiti Covid-19," katanya.
Sekiranya disahkan positif Covid-19, petugas di Jabatan Forensik perlu menggunakan pakaian pelindung diri (PPE) dan mengikut prosedur ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!