Sungai tular ada buaya
JASIN - Keindahan Sungai Kesang yang terletak di Laman Belia Sungai Rambai Melaka bersempadan negeri Johor tular di Facebook beberapa hari lalu menarik perhatian ramai untuk mengenali lokasi itu.
Netizen turut menggambarkan kawasan itu sebagai Maldives Malaysia kerana air jernih kebiruan yang menampakkan dasar sungai.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Perhilitan negeri, Mohd Hasdi Husin berkata, aktiviti itu dibimbangkan akan mengganggu habitat buaya yang dilaporkan wujud di kawasan berkenaan sejak tahun 2018.
Menurutnya, susulan aduan berkenaan pihaknya memasang dua papan tanda amaran sejak dua tahun lalu sebagai langkah berjaga-jaga kepada pengunjung walaupun belum ada kecederaan membabitkan reptilia itu.
"Aduan dan laporan yang kami terima terdapat dua atau tiga ekor buaya jenis tembaga yang di kawasan ini.
"Saya menasihatkan pengunjung tidak mandi-manda di sungai ini bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini dan dalam masa sama kita akan terus memantau situasi di sungai berkenaan," katanya ketika melawat Sungai Kesang di sini, hari ini.
Jelasnya, keadaan sungai yang berubah jernih mungkin dipengaruhi beberapa faktor seperti tiada aktiviti pertanian atau pembukaan tanah di hulu sungai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seorang pengunjung dari Seri Alam, Selangor, Roziah Awang, 37, mengakui teruja kerana dapat melihat sendiri air sungai yang jernih selepas gambar mengenai Sungai Kesang itu tular di media sosial.
Menurutnya, dia yang pulang ke kampung di Chin Chin, Jasin selepas kerajaan memberi kebenaran merentas negeri tidak melepaskan peluang ke sungai berkenaan bersama keluarganya.
Katanya, dia juga tidak percaya masih ada lagi sungai yang jernih seperti di Melaka dan tidak ketinggalan berswafoto bersama ahli keluarga lain.
"Selalu di luar negara yang kita tahu sungai cantik tapi ini di Melaka dan gembira dapat melihat sendiri kejernihan air sungia ini.
"Harap keadaan ini berkekalan dan orang ramai peka dengan papan tanda amaran buaya yang dipasang di tepi sungai ini," katanya.
Sementara itu, tinjauan di Sungai Kesang masih dikunjungi orang ramai pelbagai bangsa untuk melihat keindahan sungai berkenaan.
Rata-rata netizen memuji kecantikan sungai tersebut yang jernih selain turut mengakui terdapat reptilia di kawasan itu selepas gambar beberapa pemuda yang mandi di sungai itu tular.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!