88 kematian akibat denggi
KUALA LUMPUR - Sebanyak 50,511 kes dan 88 kematian akibat demam denggi dicatatkan dalam negara dari Januari 2020 sehingga 13 Jun lepas, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menurutnya, jumlah kumulatif kes demam denggi itu berkurang berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak 56,819 kes dan 88 kematian yang telah dilaporkan.
“Namun sejak lapan minggu lepas, didapati berlaku trend peningkatan dengan purata peningkatan lapan peratus seminggu. Berdasarkan trend itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan peningkatan kes demam denggi dalam gelombang kedua bermula pada awal Jun sehingga September 2020,” katanya dalam satu kenyataan bersempena sambutan Hari Denggi ASEAN ke-10 di sini.
Dr Adham berkata, biarpun seluruh negara termasuk Malaysia diuji pandemik Covid-19, usaha berterusan untuk memerangi ancaman wabak demam denggi perlu diberi keutamaan memandangkan angka kes dalam negara masih tinggi.
Individu dan masyarakat turut disaran terus melakukan aktiviti pencegahan denggi dengan mengutamakan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair pensanitasi tangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Usaha (pencegahan) ini akan diperkasakan lagi melalui penglibatan ejen kesihatan iaitu sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di seluruh negara yang berperanan dalam membantu KKM untuk menjalankan aktiviti pendidikan pencegahan demam denggi melalui pendekatan norma baharu.
“Sehingga 12 Jun, terdapat 2,954 pasukan Combi dengan penyertaan lebih 25,531 sukarelawan di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Dr Adham berkata, tema Sambutan Hari Denggi ASEAN peringkat kebangsaan tahun ini ialah ‘10 Minit Hapuskan Aedes’, bertujuan mewujudkan komitmen dan kerjasama padu daripada semua pihak termasuk masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta untuk bersama-sama menangani masalah denggi.
Melalui pendekatan tema itu, mesej yang ingin disampaikan adalah masyarakat perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu.
“Tema ini juga selari dengan hala tuju KKM dalam pencegahan denggi yang memberikan penekanan kepada peranan komuniti untuk menjalankan aktiviti pemusnahan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes di premis masing-masing secara kendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Adham juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas komitmen menangani penularan demam denggi dalam negara dengan harapan usaha ini diteruskan demi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati tahap kehidupan yang berkualiti dan bebas daripada ancaman demam denggi.
Hari Denggi ASEAN disambut pada 15 Jun setiap tahun di peringkat ASEAN dan kali ini adalah sambutan tahun ke-10 sejak dilancarkan pada 2011, ia adalah sebahagian kempen kesedaran awam bertujuan untuk mewujudkan inisiatif advokasi dalam membanteras demam denggi secara bersepadu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!