Operasi rumah ibadat bukan Islam dibenarkan dengan SOP baharu
PUTRAJAYA - Pelaksanaan aktiviti keagamaan di rumah ibadat bukan Islam adalah dibenarkan kecuali di kawasan zon merah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan syarat semua prosedur operasi standard (SOP) baharu dipatuhi dan ia tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berkata, SOP baharu bagi aktiviti keagamaan di rumah ibadat bukan Islam itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.
"SOP ini adalah mengikut garis panduan yang telah disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," kata KPN dalam satu kenyataan hari ini.
KPN berkata, rumah ibadat dibenarkan beroperasi dengan had kapasiti satu per tiga daripada bilangan penganut bagi dewan atau ruang beribadat dengan amalan penjarakkan sosial.
"Waktu beroperasi kembali seperti biasa dengan amalan kawalan kendiri dan kebiasaan baharu," kata KPN, sambil menambah aktiviti di rumah ibadat berkenaan juga tertakluk kepada peraturan KKM Akta 342.
KPN berkata, aktiviti yang dilarang ialah seperti perarakan keagamaan, kenduri serta perhimpunan yang ramai dan sukar dikawal.
"Ahli jawatankuasa rumah ibadat, ketua agama dan penganut dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebiasaan baharu dan disiplin kendiri seperti amalan jarakan sosial, memakai pelitup muka dan kerap membersihkan tangan dengan sabun dan air atau cecair pembasmi kuman," katanya.
Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini berkata, Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bersetuju memberi kebenaran kepada 5,230 rumah ibadat beroperasi di seluruh negara.
"SOP yang ditetapkan (dalam mesyuarat hari ini) termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera atau memberi maklumat secara manual," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!