Penerimaan positif rakyat Malaysia kejayaan tangani Covid-19
MALAYSIA melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu disusuli Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Kini negara memasuki fasa pemulihan dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan.
Ikuti temu bual bersama Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman.
SINAR HARIAN: Apa faktor atau rahsia utama yang membawa kejayaan Malaysia terpilih sebagai antara lima negara terbaik dalam menangani Covid-19?
Saya tidak menemui sebarang bukti dokumentasi mengenai Malaysia terpilih sebagai lima negara terbaik menangani Covid-19 selain daripada kenyataan dalam taklimat media oleh Menteri Kanan (Pertahanan).
Senarai Forbes terkini menyenaraikan Switzerland di tempat pertama, Singapura di tangga keempat manakala Malaysia di tangga ke-30 sebagai negara paling selamat. Bagaimanapun, senarai tersebut turut memasukkan juga faktor kemantapan ekonomi, selain faktor epidemiologi.
Pandangan saya dari segi epidemiologi iaitu melihat pada pola taburan jangkitan dan kematian akibat Covid-19 dalam konteks negara, didapati Malaysia berjaya mengekang peningkatan kes baharu dan juga kematian akibat jangkitan tersebut melalui langkah-langkah pencegahan dan kawalan mulai pertengahan Mac lalu.
Antara faktor yang menyumbang pada kejayaan tersebut adalah penerimaan masyarakat yang sangat positif terhadap keputusan kerajaan dan pakar bidang dalam menangani wabak tersebut.
Adakah kemungkinan Malaysia berdepan dengan gelombang baharu Covid-19 sebagaimana berlaku di Beijing, China ketika ini?
Selagi kita masih belum menemui vaksin, kemungkinan itu sentiasa wujud. Untuk itu, kepatuhan kita sepanjang PKPP ini terhadap normal baru kehidupan sangat penting untuk terus diamalkan.
Secara umum, pola jangkitan negara kita bertambah baik. Meskipun terdapat peningkatan kes baharu sekali-sekala, namun secara umum pola adalah corak menurun.
Kes jangkitan serius yang mengakibatkan komplikasi juga jauh berkurangan. Kita berdoa semoga keadaan ini berterusan serta terus bertambah baik.
Bagaimana Profesor melihat tahap kepatuhan orang ramai terhadap SOP di pasar raya, kedai makan dan tempat awam sejak dikuatkuasakan PKPP?
Sebahagian besar kekal menunjukkan kepatuhan yang tinggi meskipun ada di satu dua tempat yang kita saksikan terdapat sedikit ketidakpatuhan iaitu contohnya kita masih menyaksikan anak-anak kecil di bawa bersama di pusat beli-belah.
Demikian juga mengenai penjarakan fizikal yang berbeza untuk pengangkutan awam berbanding masjid yang sedikit sebanyak mengelirukan masyarakat awam.
Saya berpendapat perlu ada penyelarasan dalam penguatkuasaan langkah pencegahan supaya ianya seragam dan mudah untuk dipatuhi.
Malaysia belum mempunyai keupayaan membangunkan vaksin sendiri, adakah sudah sudah tiba masanya negara memiliki fasiliti sendiri dan bagaimana dari segi kemampuan kewangan?
Secara umum, Malaysia mempunyai kemampuan dan pakar-pakar membangunkan vaksin. Ini telah dibuktikan oleh pakar veterinar negara kita yang menghasilkan vaksin ke atas penyakit yang sering mengancam penghasilan haiwan domestik.
Vaksin berkenaan telah pun digunapakai untuk pasaran haiwan domestik negara.
Cuma dalam penghasilan vaksin untuk penyakit berjangkit yang melanda populasi manusia, kita berharap ada penambahbaikan dari segi perolehan data klinikal serta koordinasi peringkat tinggi dalam penghasilan produk tersebut.
Saya berpendapat kita boleh mencontohi situasi di Thailand yang mana Kementerian Kesihatan mereka mempunyai kerjasama erat dengan universiti tempatan apabila kementerian mereka melantik universiti yang mempunyai kemudahan makmal penghasilan vaksin sebagai makmal-makmal satelit kolaborasi kementerian dengan universiti berkenaan.
Koordinasi tersebut dilihat sangat baik dan Thailand pada masa ini telah pun berjaya menghasilkan calon vaksin yang sedang diuji di peringkat haiwan makmal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!