Rakyat takut untuk berbelanja
SHAH ALAM - Sektor ekonomi di Malaysia masih perlahan walaupun sudah masuk fasa pemulihan
Penularan wabak koronavirus (Covid-19) memberi impak besar kepada psikologi rakyat Malaysia apabila masih ada yang ragu-ragu untuk berbelanja walaupun negara sudah memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, rata-rata rakyat dilihat masih takut untuk keluar rumah dan pergi ke kawasan tumpuan ekonomi termasuk pasar harian.
Beliau berkata, situasi tersebut menghalang proses pemulihan sektor ekonomi terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Walaupun banyak pasar dibuka dan penjaja sudah mula berniaga tetapi perniagaan mereka masih sangat perlahan kerana permintaan kurang.
“Contohnya di Pasar Raja Bot dan Pasar Pudu, suasana lengang. Memang ada pelanggan yang datang tapi bilangannya sangat kecil. Walaupun kes Covid-19 dilaporkan berkurangan, selagi tiada vaksin ditemui, saya percaya keadaan ini akan berterusan.
“Rasa tidak selamat dan bimbang ini akan terus mempengaruhi psikologi serta keyakinan rakyat untuk keluar membeli-belah atau membeli barangan keperluan seperti kebiasaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, proses pemulihan ekonomi dalam tempoh PKPP dilaporkan tidak terjejas meskipun berhadapan dengan situasi turun naik kes Covid-19 di negara ini.
Mustapa bagaimanapun berkata, penularan wabak itu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat yang akan menjadi halangan utama dalam memulihkan semula ekonomi.
Sementara itu, Rosli berkata, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang harus dipatuhi juga sedikit menyukarkan dan menyebabkan masyarakat lebih selesa untuk tidak keluar rumah.
Selain itu, Rosli turut berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Majlis Bandaraya tidak terlalu menekan golongan peniaga tempatan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Sepatutnya ambil tindakan tegas terhadap warga asing terutama yang menjaja di tepi jalan. Cara itu juga dapat membantu peniaga tempatan untuk terus bernafas semula selain meningkatkan keyakinan masyarakat.
“Ini kerana, orang ramai takut kerana kebanyakan kes penularan wabak Covid-19 di negara ini adalah melibatkan warga asing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!