Remaja tergamak tikam ibu
BANGKOK - Seorang remaja tergamak menikam ibunya bertubi-tubi hanya kerana mahu kebebasan dalam kejadian di Songkhla, Thailand kelmarin.
Menurut polis, kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi (waktu tempatan), apabila remaja lelaki berusia 16 tahun itu bertindak menikam ibunya yang sedang tidur di bahagian perut beberapa kali.
Bagaimanapun, remaja itu dilaporkan menyerah diri di Balai Polis Hat Yai selepas kejadian tersebut dan didakwa atas cubaan membunuh dan menggunakan senjata berbahaya.
Dalam catatan tulisan tangan yang diberikan kepada polis, remaja terbabit memberitahu dia bertindak sedemikian kerana tidak mampu memenuhi harapan ibunya dan mahu kebebasan untuk membuat keputusan tanpa pemeriksaan ibu bapa.
"Remaja itu tinggal bersama neneknya yang berusia 70 tahun di Songkhla sehingga sekitar dua minggu lalu sebelum ibunya yang berusia 34 tahun pulang dari luar negara.
"Dia tertekan selepas ibunya kembali walaupun tidak pernah dipaksa untuk melakukan apa-apa," kata polis.
Menurut catatan itu, remaja terbabit berkata, ibunya sempat bertanya mengapa dia melakukan perkara tersebut sebelum mengarahkan remaja itu melarikan diri.
"Dia membuat saya memahami betapa dia menyayangi saya. Saya berlari keluar dari rumah. Kebencian saya terhadapnya berubah menjadi perasaan bersalah. Saya ingin dihukum atas apa yang telah saya lakukan," tulisnya.
Polis berkata, wanita terbabit telah dimasukkan ke sebuah hospital kerana mengalami kecederaan serius dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!