Elak cemar nama baik harumanis Perlis: Raja Muda
KANGAR - Semua pihak diharap akan terus berganding bahu menjayakan sektor pertanian di Perlis, khususnya industri mangga harumanis, ke arah mencapai kelestarian sekali gus mengharumkan nama negeri itu ke persada paling tinggi, titah Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, semua pengusaha perlu membuat persiapan awal bagi menghadapi musim akan datang terutama dalam menangani isu penipuan dan kecurian yang sering berlaku sejak harga harumanis berada pada tahap yang tinggi beberapa tahun kebelakangan ini.
“Gejala penipuan ini termasuklah menjual buah berkualiti rendah dengan harga ‘gred A’ (gred premium) dan menjual buah mangga jenis atau dari tempat lain menggunakan nama harumanis Perlis.
“Sekiranya tidak segera dibendung, dibimbangi akan mencemar nama baik harumanis Perlis,” titah baginda menerusi satu kenyataan hari ini sambil menambah bahawa semua pihak harus memainkan peranan dengan serius supaya industri harumanis Perlis tidak terjejas dan musnah disebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab ini.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, isu kecurian harumanis pada tahun ini terkawal berbanding tahun sebelumnya susulan usaha pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia yang bertindak memperketatkan rondaan.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal ‘MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf’ kali ke-23 sejauh 25 kilometer, yang bermula dan berakhir di pekarangan Pusat Ekuin milik Jabatan Veterinar Negeri Perlis di Sungai Batu Pahat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, yang mengiringi baginda mengingatkan pengusaha tanaman agar membayar zakat seperti yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis ke atas semua hasil pertanian termasuk bijirin dan buah-buahan seperti padi dan harumanis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!