Bomba tingkat rondaan di kawasan pantai

Mohd Khairiri (kanan) menyapa sekumpulan kanak-kanak yang bermain di Pantai Pandak.
Mohd Khairiri (kanan) menyapa sekumpulan kanak-kanak yang bermain di Pantai Pandak.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mempertingkatkan rondaan dan kawalan keselamatan khususnya di kawasan pantai peranginan di negeri ini.

Ia susulan peningkatan kunjungan orang ramai setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.

Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Khairiri Mat Resad @ Arshad berkata, selain pemantauan, pihaknya turut mengambil pendekatan memberikan nasihat tentang aktiviti di air.

Menurutnya, orang ramai juga diingatkan tentang langkah-langkah kawalan yang perlu diambil memandangkan negara masih dalam usaha memerangi koronavirus (Covid-19).

"Kita lihat pantai kembali meriah kerana orang ramai kembali keluar setelah lama 'berkurung' kerana pergerakan terhad. Tetapi apa yang menjadi kebimbangan kita adalah keghairahan orang ramai melakukan aktiviti di luar.

"Sekiranya tiada kawalan dan pemantauan, ia boleh mengundang kejadian yang tidak diingini kerana ada sesetengah kawasan di pantai yang tidak sesuai untuk aktiviti mandi manda.

"Bagi masyarakat tempatan yang biasa dengan keadaan pantai di sini, mereka lebih waspada. Bagaimanapun kita bimbang jika orang luar dan yang tidak biasa dengan keadaan pantai di Terengganu, risiko bahaya itu meningkat jika mereka cuai dan lalai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media setelah membuat pemantauan dan rondaan bersama pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan ibu pejabat di Pantai Pandak di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairiri (dua dari kiri) memberikan nasihat keselamatan kepada pengunjung Pantai Pandak.
Mohd Khairiri (dua dari kiri) memberikan nasihat keselamatan kepada pengunjung Pantai Pandak.

Mohd Khairiri berkata, beberapa pantai di Terengganu yang dikenal pasti bahaya dan kerap berlaku kejadian lemas antaranya Pantai Pandak, Pantai Tok Jembal, Pantai Teluk Ketapang dan Pantai Teluk Bidara.

Lebih membimbangkan katanya, jumlah kes lemas di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 13 kes berbanding 15 kes sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 10 kes lemas berlaku di pantai manakala tiga kes lagi di sungai.

"Lima kes lemas berlaku di Dungun, Kuala Terengganu (dua kes), Hulu Terengganu (empat kes) manakala masing-masing satu kes di Besut dan Kemaman.

"Dalam tempoh lima tahun ini, 94 kes lemas direkodkan. Ia jumlah yang agak tinggi, sebab itu bomba memberikan perhatian tentang aspek keselamatan sewaktu melakukan aktiviti di air.

"Rondaan keselamatan dan pemantauan ini akan diteruskan terutamanya pada hujung minggu dan cuti persekolahan. Kita lakukannya di setiap lokasi tumpuan di daerah-daerah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!