KUFC tetap bayar gaji pemain ketika PKP
TUMPAT - Pengurusan Kelantan United FC (KUFC) tetap melunaskan bayaran gaji pemain meskipun tiada sebarang pendapatan diterima sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presidennya Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, bagi menampung kos itu, KUFC menggunakan pelbagai saluran untuk mendapatkan dana.
"Buat masa ini kita kena bayar gaji pemain dan kita masih membayar. Apa jua caranya kita akan cuba menambah sumber kewangan agar tiada pemain yang terjejas," katanya pada majlis bersama media di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, KUFC akan memulakan latihan dalam masa terdekat selaras dengan kebenaran yang diberikan oleh kerajaan menerusi fasa PKP Pemulihan.
"KUFC menyasarkan untuk ke Liga Super pada musim depan, justeru perlu meningkatkan saingan dalam Liga Premier," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!