MDKS tambah sehari waktu operasi pasar pagi, malam
KUALA SELANGOR - Waktu operasi 20 pasar pagi dan malam di bawah seliaan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) ditambah sehari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
MDKS dalam kenyataannya memaklumkan, penambahan hari yang bermula semalam hanya dijalankan sepanjang tempoh PKPP dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"Contohnya, Pasar Malam Bandar Malawati yang beroperasi pada hari Selasa akan ditambah satu hari operasi pada hari Rabu," katanya menerusi Facebook rasmi MDKS hari ini.
MDKS menegaskan, semua peniaga diminta mematuhi syarat yang ditetapkan seperti mengambil surat kebenaran perniagaan dan mengamalkan setiap perkara norma baharu.
"Selain itu, mereka perlu mengikuti jadual penggiliran hari perniagaan serta diwajibkan mendaftar dan memaparkan salinan kod QR SELangkah," katanya.
Menurut kenyataan itu, MDKS tidak teragak-agak mengambil tindakan menutup pasar sekiranya peniaga tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain membatalkan permit dan kompaun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!