Tuah usik suami pakai baju merah jambu
SKUDAI - Niat sorang wanita yang sekadar mengusik suami dengan meminta memakai baju T merah jambu terang ketika menjual sate sebenarnya membawa tuah kepada pasangan berusia 22 tahun itu apabila jualannya itu menarik perhatian ramai.
Nur Halimatul Saadiah Asrar dan suami, Luqman Hakim Dzulkefly, baru sahaja mulakan perniagaan sate pada minggu lalu di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti bagi menjana pendapatan.
Wanita itu mengakui warna baju T itu menjadi perbualan hangat netizen sehingga perniagaannya tular di laman sosial.
"Niat saya cuma mahu mengusik suami sahaja. Suami hanya merenung wajah saya apabila mendengar pendapat saya warna itu boleh nampak dari jauh," katanya Sinar Harian.
Nur Halimatul Saadiah memberitahu, mereka berkahwin hampir dua tahun dan suaminya merupakan mahasiswa tahun ketiga Universiti Al Azhar, Mesir dalam kursus Ulum Islamiah.
"Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada Mac lalu, kami sudah berada di Malaysia kerana waktu itu saya hamil anak pertama.
"Saya mahu bersalin di Malaysia dan Alhamdulillah kami dikurniakan seorang bayi perempuan bernama Busyra Nour Medina berusia dua bulan.
"Melihat keadaan semasa wabak koronavirus (Covid-19) masih belum pulih, ditambah pula tiada pekerjaan, kami mengambil keputusan untuk berniaga sementara menunggu keadaan semakin pulih," katanya.
Bercerita lanjut berkaitan perniagaannya, jelas Nur Halimatul Saadiah, sambutan sangat menggalakkan walaupun mereka baru mula berniaga.
"Syukur ramai sambutan... sebelum ini, suami pernah berniaga sate di Mesir dan bekerja sambilan sebagai tukang masak di kafe kedutaan Malaysia di sana.
"Berbekalkan pengalaman itu, tiada masalah untuk mulakan perniagaan sate di sini," katanya.
Dalam pada itu, Nur Halimatul Saadiah berharap, usaha mereka berhasil dan dapat meneruskan perniagaan secara berterusan.
Difahamkan, mereka menjual dua jenis sate, iaitu ayam dengan harga RM1 secucuk dan RM1.20 untuk sate daging (batang pinang).
Terdahulu, gurauan di Twitter Nur Halimatul Saadiah dengan kapsyen, "Goodluck suamiku jual sate. Aku suruh dia pakai baju pink. Biar dari jauh orang dah nampak. Kau tahu jela warna dia tak berapa terang. Kang malam orang tak nampak. Siapa nak beli sate gemok gebu boleh beli kat Masjid Taman U. Gerenti tak menyesal," membuat ramai terhibur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!