Anak terkejut terima e-mel selepas tiga bulan kematian bapa
MANILA - Seorang anak terkejut dan terharu selepas menerima kiriman e-mel dari mendiang bapanya yang telah meninggal dunia tiga bulan lalu.
Isi kandungan e-mel itu dikongsi di Facebook milik Aly Mendoza baru-baru ini hingga tular di laman sosial.
Pada mulanya, dia keberatan untuk membuka e-mel tersebut, tetapi akhirnya dia melakukannya setelah dua hari berlalu.
Aly berkata, mendiang bapanya telah menyediakan kejutan buat ibu sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-25 pada 10 Jun termasuk hari lahir ibu pada 19 Ogos.
"Ayah mengetahui dia akan pergi meninggalkan kami terutama ibu, jadi dia sudah sediakan kejutan lebih awal untuk menyambut tarikh penting mereka.
"E-mel itu menyatakan beberapa arahan dan maklumat penting untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka.
"Saya ikut seperti mana dirancang ayah, ternyata kejutan itu membuatkan ibu menangis mengenangkan ayah tiada di sisi," katanya.
Menyifatkan bapanya seorang romantik, Aly terharu kegigihan dan kesungguhan bapanya menyediakan hadiah dan bunga untuk ibu.
"Walaupun mereka tidak bersama secara fizikal, tetapi kehadiran ayah dirasai di sini.
"Cinta suci ayah kepada ibu sungguh luar biasa, meskipun terpisah dengan kematian, ayah tetap memberi komitmennya," katanya.
Terdahulu, kisah penuh emosi itu tular di laman sosial dan rata-rata netizen gembira dan kagum dengan cinta sejati mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!