Lima muzium di Negeri Sembilan dibuka kepada orang ramai

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti antara lima muzium dibuka hari ini kepada orang ramai.
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti antara lima muzium dibuka hari ini kepada orang ramai.
A
A
A

KUALA PILAH - Sebanyak lima muzium di Negeri Sembilan dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Drs Shamsuddin Ahmad berkata, lima muzium itu adalah Muzium Negeri di Seremban, Teratak Za’ba di Batu Kikir Jempol, Muzium Rembau di Astana Raja Rembau, Kompleks Megalith di Pengkalan Kempas Port Dickson dan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah.

"Sebelum ini kesemua muzium tersebut ditutup sementara waktu bermula 18 Mac lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selari dengan arahan kerajaan bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19) dan dibuka semula selepas mendapat kelonggaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Bagaimanapun, beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan perlulah dipatuhi sebelum pengunjung dibenarkan masuk serta ketika berada di kompleks muzium," katanya.

Salah seorang pengunjung Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti diperiksa suhu sebelum dibenarkan masuk.
Salah seorang pengunjung Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti diperiksa suhu sebelum dibenarkan masuk.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara SOP yang ditetapkan adalah had umur yang dibenarkan hanyalah 13 hingga 60 tahun manakala lawatan berkumpulan buat masa ini tidak dibenarkan.

“Pelawat juga haruslah terdiri daripada warganegara Malaysia dan tiada pemandu lawatan disediakan untuk pengunjung selain pergerakan pengunjung sentiasa dipantau,” katanya.

Shamsuddin berkata, paling penting pelawat diwajibkan menjalankan imbasan suhu badan dan mereka yang melebihi 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan masuk.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang lawatan, pelawat digalakkan memakai pelitup muka semasa berada di dalam galeri pameran dan sekitar kompleks muzium.

“Bagi mereka yang menghidap penyakit kronik adalah dinasihatkan supaya tidak memasuki ke galeri pameran kerana mereka berisiko dan mudah untuk dijangkiti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!