PKPP: Bomba Negeri Sembilan sasar periksa 70 premis
SEREMBAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menyasarkan sebanyak 70 premis diperiksa menerusi pemeriksaan keselamatan kebakaran semasa tempoh Perintah Kawalan Keselamatan Pemulihan (PKPP).
Pengarahnya, Hamdan Ali berkata, pemeriksaan itu bermula semalam sehingga 30 Jun ini di kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah dan pasar raya.
"Pelaksanaan pemeriksaan dibuat melalui Bahagian Keselamatan Kebakaran di tiga zon iaitu Zon Seremban sebanyak 35 premis, Port Dickson 22 premis dan Jempol sebanyak 13 premis.
"Pemantauan berterusan dapat memastikan setiap aspek keselamatan kebakaran di premis sentiasa dalam keadaan baik," katanya pada sidang akhbar program task force menghapuskan bahaya kebakaran di premis pasar raya semasa PKPP di Pasaraya AEON Seremban 2 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hamdan berkata, ini merupakan satu langkah proaktif dalam usaha memastikan kesiapsiagaan jabatan sentiasa diletakkan dalam keutamaan menghadapi sebarang kecemasan lebih-lebih lagi dalam suasana new norma bagi memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).
Sementara itu, Hamdan berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan keselamatan kebakaran terhadap premis-premis yang dijadikan stesen kuarantin Covid-19 semasa PKP bermula 18 April lalu hingga kini.
"Kita telah memeriksa sebanyak 35 premis kategori asrama, hotel dan bangunan kerajaan untuk memastikan tidak wujudnya bahaya kebakaran seperti halangan pada laluan pelepasan diri dan juga sistem pepasangan keselamatan kebakaran tidak berfungsi," katanya.
Dalam pada itu, Hamdan berkata, berdasarkan statistik menghapuskan bahaya kebakaran, sebanyak 439 premis telah diperiksa tahun lalu manakala 514 premis diperiksa pada tahun 2018.
"Selain itu, sebanyak 397 premis telah ditetapkan mempunyai sijil perakuan bomba (FC) pada tahun lalu berbanding tahun 2018 iaitu 359 premis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!