Ikhtiar Makmur Johor permulaan bina semula Johor

Mohd Hairi Mad Shah
Mohd Hairi Mad Shah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang digariskan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad baru-baru ini diyakini mampu memulihkan semula ekonomi negeri berikutan penularan koronavirus (Covid-19).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kerajaan negeri terus komited mencari jalan dan memikirkan ‘jalan keluar’ terbaik bagi mengatasi permasalahan dan keluhan yang disuarakan rakyat dan bangsa Johor.

Beliau seterusnya memuji usaha mewujudkan Johor Investment Company (JICO) yang akan ditubuhkan di Singapura sebagai usaha memberikan pendedahan kepada penjawat awam negeri (JCS) untuk bertugas di sana.

Katanya, penubuhan JICO ini bakal dijadikan ‘Kedutaan Johor’ di Singapura bagi menjaga kebajikan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu di mana separuh daripadanya berulang-alik ke Johor Bahru setiap hari.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Tujuh Ikhtiar Makmur Johor dilancar

"Selain itu, Johor Digital Masterplan yang diwujudkan bagi menjayakan usaha pendigitalan negeri ini memang tepat pada masanya dan perlu diusahakan bermula sekarang, apatah lagi setelah dua tahun kita tidak melihat sebarang pembangunan infrastruktur yang memanfaatkan rakyat.

"Idea dan usaha yang dinamakan Ikhtiar Makmur Johor dilihat Pergerakan Pemuda UMNO sebagai satu titik permulaan untuk kepimpinan terus bekerja tanpa menoleh ke belakang seterusnya memakmurkan negeri ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, bangsa Johor perlu mendepani realiti permasalahan terutama ketika penularan Covid-19 yang memerlukan kerjasama dan usaha digembleng dari setiap lapisan bermula dari peringkat kepimpinan sehingga anggota masyarakat.

"Mengemudi sebuah negeri yang dilanda masalah yang tidak diduga bukan suatu tugas yang mudah dan menenangkan untuk digalas, apatah lagi ia membabitkan kebajikan keseluruhan rakyat yang terkesan dengan Covid-19.

"Hasil penelitian dan keikhlasan barisan kepimpinan kerajaan negeri hari ini, masih ada cahaya dalam kesamaran dan hasilnya idea dan usaha yang dinamakan Ikhtiar Makmur Johor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!