Polis tumpas sindiket dadah, rampas senjata api

Mohd Zaid (dua dari kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan di Sungai Chua.
Mohd Zaid (dua dari kanan) menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan di Sungai Chua.
A
A
A

KAJANG - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang memiliki senjata api dalam serbuan di Sungai Chua di sini kelmarin.

Turut ditahan dalam serbuan tersebut adalah dua lelaki berusia 42 dan 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, serbuan kira-kira jam 7.30 petang itu dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

"Hasil penahanan tersebut, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 2.31 kilogram selain empat laras senapang dan dua pucuk pistol yang dianggarkan bernilai RM350,085 di sebuah apartmen di Subang Jaya, Selangor.

"Kita turut menyita sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengedaran dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah tersebut diedar di sekitar Lembah Klang manakala senjata api terbabit diperoleh suspek menerusi pembelian secara dalam talian.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!