FELCRA lantik tiga ahli Lembaga Pengarah baharu
PUTRAJAYA - FELCRA Bhd melantik tiga ahli Lembaga Pengarah baharu yang melibatkan gandingan profesional dalam sektor korporat, bidang perancangan kewangan dan kepakaran dalam pengurusan ladang.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Samsul Husin, Datuk Abd Halim Hamid dan Mohamad Husain sebagai ahli lembaga pengarah FELCRA baharu.
"Gabungan ini diharap dapat melonjakkan FELCRA ke satu tahap yang dikagumi setanding dengan konglomerat perladangan lain," katanya.
Katanya, di bawah pimpinan Pengerusi Datuk Shabudin Yahaya, FELCRA dijangka memberi fokus kepada tiga bidang strategik iaitu hala tuju baharu syarikat untuk jangka panjang, perubahan yang perlu dilaksanakan serta mengukuhkan struktur operasi.
"Ini seiring dengan cabaran budaya kerja berdasarkan perubahan dan harapan baharu ini yang sentiasa disesuaikan dengan norma baharu," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!