Kedah benar solat Jumaat, fardu berjemaah mulai Jumaat ini
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah diadakan di semua masjid dan surau di Kedah bermula Jumaat ini.
Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, bilangan minimum jemaah adalah sekurang-kurangnya 40 orang dan maksimum 60 orang bagi solat Jumaat sementara maksimum 40 jemaah dibenarkan untuk solat fardu.
Bagaimanapun menurutnya, bilangan maksimum jemaah itu tertakluk kepada keluasan masjid atau surau dan kemampuan jawatankuasa kariah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
"Bagi mereka yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zuhur dan dilakukan di tempat masing-masing dengan membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk di rumah mereka.
"Laungan lafaz azan yang digunakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Perintah Bersyarat (PKPB) sebelum ini juga dikembalikan kepada lafaz azan yang asal," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Fadzil berkata, kuliah agama dan pengajian al-Quran turut dibenarkan selepas solat Subuh dan Maghrib tetapi dalam tempoh ditetapkan tidak melebihi 30 minit.
Beliau berkata, masjid dan surau hendaklah menyediakan ruang solat untuk orang yang bermusafir mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan JHEAIK.
Katanya, kerajaan negeri juga membenarkan kembali aktiviti solat sunat Aidiladha di masjid dan surau serta perlaksanaan ibadah korban.
"Bagaimanapun bilangan peserta dibenarkan hadir pada satu-satu masa tertakluk kepada kesesuaian kawasan dengan mengelakkan elemen sesak, sempit dan sembang dekat (3S).
"Sebarang bentuk majlis jamuan dan kenduri tidak dibenarkan tetapi agihan daging korban kepada peserta dan fakir miskin serta lain-lain boleh dilaksanakan dengan mengamalkan jarak sosial," katanya.
Sementara itu, Pengarah JHEAIK, Mohd Yusri Md Daud berkata, pihaknya menetapkan beberapa SOP untuk dipatuhi umat Islam bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Antaranya jemaah berusia 15 tahun ke bawah dan warga asing tidak dibenarkan menunaikan solat jemaah di masjid dan surau," katanya.
Mohd Yusri berkata, jumlah maksimum 80 jemaah termasuklah ahli jawatankuasa (AJK) dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat di masjid negeri iaitu Masjid Zahir dan jumlah maksimum 60 orang dibenarkan untuk masjid kariah, institusi dan surau.
Beliau berkata, hanya 40 jemaah dibenarkan dalam satu-satu masa untuk solat fardu di masjid manakala di surau hanya dibenarkan 20 orang sahaja.
Katanya, jemaah dikehendaki mendaftar dengan jawatankuasa masjid dan surau terlebih dahulu sebelum waktu solat bagi mengelakkan berlaku kesesakan.
"Selain itu, kita mohon jemaah mengikut sistem giliran dan JHEAIK akan melalukan pemantauan dari masa ke masa dengan kerjasama polis bagi memastikan jemaah mematuhi SOP," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!