Dimensi baru sarang burung walet

Tze Tzin (tengah) merasmikan produk Walet, Royal Ellamae di MAHA 2018, semalam. Turut serta, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (KesihatanTernakan), Dr Saipul Bahri Abd Ree (kanan). -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor
Tze Tzin (tengah) merasmikan produk Walet, Royal Ellamae di MAHA 2018, semalam. Turut serta, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (KesihatanTernakan), Dr Saipul Bahri Abd Ree (kanan). -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SERDANG - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA2018) tidak pernah ketinggalan memperkenalkan inovasi, perniagaan mahupun industri baru setiap kali penganjurannya.

Tahun ini, MAHA sekali lagi mengorak langkah positif dengan mempromosikan sarang burung walet, industri yang nilainya boleh mencecah RM6 bilion dan menariknya, ia ada di Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, hanya empat negara di dunia mempunyai industri berkenaan iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand kerana persekitaran di negara tersebut sesuai untuk burung walet.

“Selama ini kita tahu nilai industri ini dan sebab itu kerajaan dan juga pihak swasta bersama-sama melabur dan memajukan industri sarang burung walet. Industrinya boleh mencecah RM6 bilion tapi kita baru sampai RM1.5 bilion sahaja.

“Maka, ada ruang yang sangat besar untuk kita tambah pelaburan. Secara tradisi, orang makan sarang burung ini secara mentah, masak dan makan tetapi sekarang kita nampak potensi lebih besar adalah proses produk seperti topeng muka (face mask), kopi, losyen dan makanan tambahan.

Sebahagian daripada produk berasaskan sarang burung walet dihasilkan dua syarikat berkenaan. -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor
Sebahagian daripada produk berasaskan sarang burung walet dihasilkan dua syarikat berkenaan. -Foto Sinar Harian Asril Aswandi Shukor



“Ini menunjukkan kreativiti industri ini semakin meningkat dan pastinya akan membawa keuntungan kepada negara. Jadi, kerajaan menggalakkan pemain industri untuk memasuki industri ini dengan menghasilkan produk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Produk Berasaskan Sarang Burung Walet Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Ternakan), Dr Saipul Bahri Abd Ree berkata, kini bukan masyarakat Cina sahaja yang peka dengan khasiat sarang burung walet malah kaum lain juga sudah mula cakna dengannya.

Artikel Berkaitan:


“Sebab itu kami mahu khasiat ini masuk ke dalam produk-produk lain seperti kosmetik kerana semua orang tak kira bangsa menggunakannya untuk kecantikan dan kesihatan.

“Jadi, ini antara perkara yang kita nampak boleh masukkan sarang burung walet ke dalamnya termasuklah minuman. Kita nampak potensi industri ini.

“Seperti perdana menteri kata, industri sarang burung walet boleh mencecah RM6 bilion, ia jumlah yang tinggi. Jadi, kita nak ambil peluang untuk tembus pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui dalam majlis sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengasas Shinshu Engineering Sdn Bhd, Ahmad Zaidi Masri berkata, beliau menggunakan teknologi dari Jepun untuk mengekstrak sarang burung walet bagi membolehkan lebih ramai orang dapat memanfaatkannya.

Menurutnya, biasanya harga sarang burung walet mentah agak mahal namun apabila diekstrak menjadi beberapa produk termasuk pencuci muka, krim tangan dan topeng muka, harganya menjadi lebih murah.

“Kita telah melakukan kajian dan pembangunan, kita masukkan sarang burung walet dalam produk supaya orang dapat guna secara terus kepada kulit mereka.

“Sarang burung ini memang sangat berkhasiat jadi kita lakukan kajian supaya manfaat ini dapat dikongsi. Kami menggunakan teknologi Jepun dalam kajian kami.

“Dengan adanya teknologi sebegitu, masyarakat boleh mendapatkan khasiat sarang burung walet pada harga lebih rendah. Bila Jepun terima, satu dunia akan terima produk ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Royal Bird’s Nest Sdn Bhd, Darrell Chan Chee Kian berkata, kacip fatimah dan tongkat ali begitu mudah menembusi pasaran dan beliau berharap sarang burung walet juga akan begitu tidak lama lagi.

Menurutnya, menyedari harganya agak mahal, syarikatnya mengambil inisiatif menghasilkan beberapa produk yang lebih murah namun khasiatnya tetap sama.

“Khasiat sarang burung walet sangat banyak, sejarahnya juga sangat panjang. Di Malaysia, ramai rakyat menyedari khasiat mengamalkan sarang burung walet ini.

“Kesedarannya ada namun disebabkan harga mahal, mereka kurang membelinya. Disebabkan itu, kami hasilkan produk yang lebih murah namun manfaatnya tetap sama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!