Dexamethasone berkesan rawat kes serius Covid-19?

Penggunaan dexamethasone dapat menyelamatkan satu pertiga nyawa di bawah kes paling serius Covid-19. - Foto Agensi
Penggunaan dexamethasone dapat menyelamatkan satu pertiga nyawa di bawah kes paling serius Covid-19. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Steroid dexamethasone didakwa dapat menyelamatkan satu pertiga nyawa di bawah kes paling serius koronavirus (Covid-19), menurut keputusan percubaan diterbitkan hari ini yang didakwa sebagai kejayaan besar untuk memerangi wabak tersebut.

Penyelidikan yang sebahagian dananya ditaja kerajaan itu diketuai pasukan daripada University of Oxford yang memantau keberkesanan ubat yang diberikan kepada lebih 2,000 pesakit yang kritikal.

Keputusan awal kajian itu mendapati dexamethasone mengurangkan kadar kematian pesakit yang bergantung kepada ventilator sebanyak 35 peratus manakala satu perlima kematian dapat dicegah bagi mereka yang bergantung kepada bantuan oksigen.

"Pemberian dos harian dexamethasone dapat mencegah kematian satu daripada lapan pesakit yang bergantung kepada ventilator dan menyelamatkan satu daripada 25 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen," ujar pasukan itu lagi.

Susulan itu, Setiausaha Kesihatan United Kingdom (UK), Matt Hancock memaklumkan mereka akan segera memberikan dexamethasone kepada pesakit Covid-19.

Menurutnya, UK telah mula mendapatkan bekalan ubat itu sejak Mac lalu selepas ia dilihat sebagai rawatan berpotensi tiga bulan lalu.

"Bekalannya sudah mencecah 200,000 dan kami akan bekerjasama dengan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) untuk memastikan rawatan standard Covid-19 akan menggunakan dexamethasone," katanya.

Hancock turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada 'saintis hebat' di Oxford atas kajian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Sains kehidupan UK kini mendahului dunia dalam penghasilan vaksin, perkembangan rawatan dan imunologi," jelasnya lagi. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!