SANTA FE - Seorang lelaki ditembak di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) ketika penunjuk perasaan cuba menumbangkan patung gangsa penakluk Sepanyol di luar Muzium Albuquerque dalam kejadian pada malam semalam. Jurucakap polis, Gilbert Gallegos berkata, konfrontasi tercetus antara peserta protes dan sekumpulan lelaki bersenjata yang berusaha melindungi patung gabenor abad ke-16, Juan de Oñate tersebut. “Mangsa telah dikejarkan ke hospital dan keadaannya dilaporkan kritikal, namun stabil,” katanya tanpa mendedahkan maklumat lain. Keganasan itu berlaku beberapa jam selepas aktivis di utara New Mexico meraikan penghapusan patung Oñate lain di pusat kebudayaan komuniti Alcalde. - AFP