Sarri idam trofi sulung bersama Juventus

Sarri (kiri) dan pengendali Napoli, Gennaro Gattuso bakal menyaksikan anak buah masing-masing berentap pada aksi final Piala Itali di Rom awal pagi esok.
Sarri (kiri) dan pengendali Napoli, Gennaro Gattuso bakal menyaksikan anak buah masing-masing berentap pada aksi final Piala Itali di Rom awal pagi esok.
A
A
A

Bekas pengurus Chelsea, Maurizio Sarri memburu trofi sulung sebagai pengendali Juventus apabila anak-anak buahnya berdepan kelab lamanya, Napoli pada aksi final Piala Itali di Rom awal pagi esok.

Biarpun tanpa kehadiran penonton, pertembungan kedua-dua pasukan itu dijangka berlangsung sengit bersandarkan rekod Juventus yang memburu kejuaraan Piala Itali kali ke-14 manakala Napoli tampil selaku juara lima kali.

Musim lalu, Juventus terlepas peluang mendakap Piala Itali buat kali keempat berturut-turut, sekali gus membakar semangat Sarri dan kelab gergasi Turin itu untuk kembali di pentas kejuaraan kali ini.

Sarri mengambil alih jawatan selaku pengendali Juventus setahun lalu selepas semusim bersama Chelsea yang menyaksikan dia berjaya membantu The Blues menjuarai trofi Liga Europa.

Sebelum itu, pengendali berusia 61 tahun itu menghabiskan tiga musim bersama Napoli, bersaing hebat dengan Juventus bagi merebut trofi kejuaraan sebelum bertelagah dengan pemilik kelab, Aurelio De Laurentiis.

Menjelang aksi final Piala Itali awal pagi esok, Sarri sudah pasti mahu membuktikan sesuatu kepada bos lamanya itu seterusnya menghadiahkan gelaran sulung buat Juventus di bawah kendaliannya.

Kejayaan menjulang Piala Itali akan membantu juara lapan kali Serie A itu meneruskan rentak cemerlang mereka bagi merebut kejuaraan liga yang menyaksikan Juventus selaku pendahulu berkelebihan satu mata di depan pencabar terdekat, Lazio.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!