Perkongsian rezeki lebih meluas

Sopuddin (kiri) menyaksikan pemberian sumbangan daripada wakil TNB kepada penerima di Masjid Mukim Kuala Betis.
Sopuddin (kiri) menyaksikan pemberian sumbangan daripada wakil TNB kepada penerima di Masjid Mukim Kuala Betis.
A
A
A

Lebih 21,000 penduduk di ratusan kampung dan perumahan menerima sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk penduduk pedalaman di Padang Besar (Perlis), Bukit Selambau (Kedah), Balik Pulau (Pulau Pinang), Kayan (Perak), Banting (Selangor), Lukut (Negeri Sembilan), Masjid Tanah (Melaka), Plentong (Johor), Bentong (Pahang), Batu Rakit (Terengganu), Jeli (Kelantan) dan Keningau (Sabah).

Turut mendapat manfaat ialah penduduk miskin bandar di Wilayah Persekutuan dan Selangor seperti di Ampang, Putrajaya, Lembah Pantai, Batu dan Puchong.

TNB memperluaskan perkongsian rezeki dengan mengagihkan wang wakalah zakatnya ke setiap negeri di Semenanjung dan Sabah sepanjang Ramadan lalu bagi menyantuni golongan yang memerlukan serta terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Para penerima terdiri daripada golongan asnaf khususnya fakir dan miskin, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, pesakit kronik, orang asli dan anak-anak yatim tanpa mengira bangsa dan agama.

Warga kerja TNB di 13 negeri termasuk 15 stesen-stesennya di setiap pelosok Semenanjung bergerak ke serata tempat dari Perlis hinggalah ke Sabah, bagi menyampaikan sumbangan wakalah tersebut yang berjumlah RM4.36 juta.

Syukur dapat bantuan

Pengetua Asrama Perkaya Marang, Fariha Muda bersyukur atas sumbangan yang diterima daripada pihak TNB.

Menurutnya, melalui sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban Perkaya untuk menyediakan makanan dan minuman bagi 250 penghuni asrama.

Artikel Berkaitan:

Perkaya terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf berumur antara 11 hingga 17 tahun yang memerlukan sekurang-kurangnya RM36,500 sebulan bagi perbelanjaan makan dan minum.

“Sumber kewangan kami terjejas kerana kelapa sawit yang baru ditanam telah diserang gajah dan sekarang dalam proses menanam semula. Insya-ALLAH ia dijangka dapat mengeluarkan hasil tiga atau empat tahun lagi.

“Saya harap agar pihak TNB dapat memberikan bantuan dari segi menaik taraf kemudahan elektrik memandangkan asrama ini sudah 35 tahun beroperasi,” katanya.

Penerima sumbangan TNB dari Beaufort, Sabah SESB.
Penerima sumbangan TNB dari Beaufort, Sabah SESB.

Pegawai Daerah Bertam, Sopuddin Yusoff turut mengalu-alukan sumbangan daripada TNB yang membantu meringankan bebanan penduduk di Mukim Kuala Betis dan Bertam Barat, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan yang lalu.

“Melalui sumbangan ini, dapatlah para penerima ini membuat persiapan menyambut Syawal. Seramai 75 penerima ini kebanyakannya bekerja sendiri dengan mengusahakan kerja-kerja kampung termasuk kelapa sawit dan getah. Hubungan baik antara masyarakat di sini dengan pihak TNB sememangnya telah terjalin erat sejak dulu lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Bilal Masjid Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor, Hamezid Junid berkata, penduduk di Taman Air Biru menerima bantuan daripada TNB yang dipilih melalui PKPI TNB.

Asnaf yang kritikal seperti ibu tunggal dan keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai tetapi pendapatan di bawah RM1,000 sebulan, perlu berdaftar dengan jabatan agama. Sumbangan yang diterima berbentuk wang tunai dan bantuan makanan.

Nada sama turut diluahkan Penghulu Mukim Teloi Kiri, Kedah, Abdul Latiff Ismail yang mengucap syukur atas sumbangan dihulurkan untuk penduduk kampung.

“Tahun pertama TNB menjalankan projek solar di Bukit Selambau, bantuan diberi secara terus kepada masjid dan surau untuk penganjuran aktiviti kemasyarakatan.

“Tahun ini, sumbangan diberi dalam bentuk wang kepada 250 orang penduduk Kampung Bukit Selambau yang terjejas akibat PKP termasuk peniaga pasar malam dan pekan pagi,” katanya.

Tanda prihatin

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman berkata, pengagihan sumbangan itu dibuat secara menyeluruh di perkampungan dan perumahan di setiap negeri, rumah-rumah anak yatim dan kebajikan serta kawasan pedalaman mahu pun desa.

Menurutnya, ia disampaikan sendiri oleh warga kerja TNB termasuk barisan ahli persatuan-persatuan dalaman TNB. Sumbangan itu dilakukan atas rasa prihatin pihak TNB terhadap golongan memerlukan.

“Maklum balas yang kami terima daripada para penerima sangat mengesankan. Lebih-lebih lagi mereka yang dihimpit kesukaran akibat pandemik Covid-19, khususnya yang tinggal dalam kawasan bandar, apabila punca pendapatan masing-masing terjejas,” kata.

Beliau berkata, wang wakalah iaitu penerimaan semula daripada pembayaran zakat TNB diagihkan ke setiap negeri dengan peruntukan antara RM50,000 hingga RM1.3 juta bergantung kepada pulangan wakalah yang diterima di setiap negeri. Pendekatan itu membolehkan perkongsian lebih meluas hingga ke setiap pelosok semenanjung, dalam usaha menceriakan dan meringankan kesempitan hidup para penerima bagi persiapan menyambut kedatangan 1 Syawal pada 24 Mei lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!