Saran kerajaan beri diskaun 50 peratus tarif elektrik: MCCF
SHAH ALAM - Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyarankan kerajaan memberikan potongan 50 peratus caj bayaran takrif bil elektrik sepanjang tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusinya, Halim Ishak berkata, ia wajar dengan mengambil kira tindakan kerajaan mengisytiharkan PKP untuk menyekat wabak koronavirus (Covid-19) yang memerlukan rakyat berkurung di rumah.
"Secara tidak langsung rakyat diperintahkan mengurung diri mereka di kediaman masing-masing dan tindakan denda serta tahanan dikenakan bagi mereka yang ingkar arahan PKP.
"Ini sudah tentu mengakibatkan penggunaan elektrik di rumah akan meningkat kerana penggunaan peralatan elektrik sepenuh masa di zaman teknologi tinggi bagi mengurangkan tekanan perasaan rakyat yang majoriti terpaksa akur dan menyokong tindakan kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 ini.
"Peranan dan kerjasama rakyat Malaysia juga akhirnya membuatkan Malaysia dikenali dan disegani dalam mengawal penularan wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihak Tenaga Nasional Berhad juga perlu memberi perhatian serius dengan memperhalusi isu kadar prorata bil elektrik sepertimana dinyatakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah baru-baru ini.
"TNB juga perlulah membantu kerajaan dengan bekerjasama sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di ketika kerajaan dan rakyat melalui saat sukar memerangi penularan wabak Covid-19 yang masih belum berakhir.
"Kepekaan dan keprihatinan badan-badan GLC yang melibatkan kepentingan dan kesengsaraan rakyat terutama kepada golongan B40 dan M40 perlulah didahulukan seperti saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam membentang Pakej Khas Kedua Rangsangan Ekonomi baru-baru ini,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!