Isu pasar malam di Kelantan akan selesai bulan ini

Izani (dua dari kanan) berbual dengan peniaga jagung rebus yang menerima sumbangan periuk di Kampung Tikat disini hari ini.
Izani (dua dari kanan) berbual dengan peniaga jagung rebus yang menerima sumbangan periuk di Kampung Tikat disini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memberi jaminan menyelesaikan isu pembukaan pasar malam pada bulan ini bagi memastikan peniaga dapat mencari rezeki sebaik mungkin dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Hussin berkata, pihaknya memahami keperitan dan kesusahan yang dialami peniaga kerana tidak dapat berniaga seperti biasa.

Bagaimanapun menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing telah pun ditugaskan untuk berbincang dengan peniaga terlibat bagaimana cara untuk mengaplikasikan SOP yang ditetapkan di kawasan mereka.

Katanya, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat negeri telah pun memberi kebenaran pembukaan pasar malam dengan pelaksanaan SOP.

"Sekarang ini kita tunggu PBT masing-masing untuk duduk semeja, bincang bagaimana untuk laksanakannya dan kembalikan operasi seperti biasa.

"Syarat dari SOP MKN terlalu ketat, jadi kita tengok keadaan pasar malam. Kalau sebelum ini ada 20 peniaga mungkin bila laksana SOP, hanya 10 peniaga yang boleh beroperasi.

"Maka perkara ini perlu dibincangkan dengan baik, bagaimana pelaksanaannya sama ada buat penggiliran dan sebagainya. Itu kita serahkan kepada PBT untuk bincang dan mengambil inisiatif 'menang-menang' antara semua pihak. Insya-ALLAH kita cuba selesaikan bulan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir menyampaikan sumbangan periuk kepada peniaga jagung rebus di kawasan Kampung Tikat, Banggol di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai had pembukaan restoran sehingga jam 10.30 malam, Izani berkata, ia bukanlah satu isu kerana kerajaan negeri melihat perkara tersebut memberi lebih kebaikan berbanding diteruskan sehingga jam 12 malam.

"Saya tengok bila kita buat PKP, PKPP, banyak kebaikan yang kita peroleh. Ibu bapa ada masa di rumah setiap malam melayan anak-anak dan keluarga.

"Buat masa sekarang ini kita masih dengan ketetapan tersebut. Normal baharu ini banyak kebaikannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!