PKPP: 52 kompaun dikeluarkan langgar SOP
KUALA LUMPUR - Sebanyak 52 kompaun dikeluarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Rabu lalu terhadap pemilik premis tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, antara kesalahan dilakukan adalah premis beroperasi melebihi had waktu dibenarkan.
Menurutnya, pihaknya menegaskan kepada pemilik premis bahawa operasi perlu ditutup pada jam 12 tengah malam, namun masih ada segelintir yang berdegil dan beroperasi sehingga jam 1 atau 2 pagi.
“Oleh yang demikian, kami kompaun mereka. Begitu juga dengan premis hiburan yang masih lagi tegar melaksanakan operasi menghiburkan pelanggan seperti di pusat karaoke dan lain-lain pusat hiburan.
"Pusat-pusat hiburan yang beroperasi turut dikompaun kerana ketika ini mereka masih tidak dibenarkan beroperasi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran MyPelawat di Bukit Aman, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Mazlan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam perancangan untuk menambah pegawai dan anggota polis dengan melakukan pengambilan baharu tahun ini.
"Kami masih lagi dalam perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara dan sebagainya, dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin, ramai rekrut baharu yang kita perlukan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!