Dadah: Dua lelaki diberkas di KLIA
SHAH ALAM - Dua lelaki diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin dipercayai memiliki dadah syabu.
Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu ditahan pada jam 1.15 petang.
"Kita mendapati dadah syabu seberat 3,164 gram setelah melakukan imbasan ke atas beg suspek. Nilai harga pasaran dadah yang dirampas kira-kira RM 126,560," katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Abdul Latiff berkata, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan yang bernilai RM40,000.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing ke atas dua suspek positif methaphetamine.
"Dua suspek itu direman enam hari. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!