KPDNHEP serbu syarikat bungkus minyak

Pegawai KPDNHEP sedang melakukan pemeriksaan dokumen di sebuah syarikat pembungkus minyak, di sini, hari ini.
Pegawai KPDNHEP sedang melakukan pemeriksaan dokumen di sebuah syarikat pembungkus minyak, di sini, hari ini.
A
A
A

KAJANG – Sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kajang menyerbu sebuah syarikat pembungkus minyak di Kajang, hari ini, kerana disyaki tidak menyelenggara buku stok barangan kawalan tersebut.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Mohamad Sani Mohammad Nor berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas syarikat tersebut berdasarkan aduan yang diterima.

“Kita turut menyita beberapa dokumen untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. Kita juga telah mengambil keterangan pengurus syarikat berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Mohamad Sani berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan dan operasi khususnya ke atas syarikat yang menjalankan perniagaan yang melibatkan barangan kawalan.

“Kita mahu memastikan kesemua pemilik syarikat dan semua peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna,” katanya.

Beliau berkata, minyak masak merupakan barangan kawalan dengan harga runcit iaitu RM2.50 sekilogram.

“Kerajaan telah memperuntukkan subsidi yang banyak ke atas barangan ini,” kata beliau.

Menurutnya, kes tersebut akan didakwa di mahkamah setelah siasatan lanjut selesai dilakukan oleh KPDNHEP Kajang.

Artikel Berkaitan:

“Mana-mana pemilik syarikat yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM3,000,000 bagi kesalahan kali kedua,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!