Kutipan cukai meningkat: Tiada langsung keajaiban dibuat Guan Eng, PH

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata peningkatan kutipan cukai langsung adalah kerana dasar kerajaan PH adalah suatu kisah dongeng yang jelas menipu rakyat.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tiada langsung keajaiban dibuat Guan Eng ataupun kerajaan PH sebaliknya peningkatan tersebut adalah kerana faktor kenaikan harga minyak dunia.

Tegasnya, Ahli Parlimen Bagan itu perlu menghentikan segera propaganda murahan beliau yang dibuat untuk menutup kelemahan pengurusan ekonomi di bawah kerajaan.

“Harga barang tak turun, puluhan ribu anak muda masih menganggur, gaji tak naik, pekebun kecil mengeluh, peniaga mengadu aktiviti ekonomi tidak rancak.

“Itu patut menjadi keutamaan kerajaan PH. Bukan ‘political point scoring’ murahan,” katanya dalam laman Facebook beliau.

Mengimbas kembali pembentangan Belanjawan 2018, Khairy Jamaluddin memaklumkan kerajaan BN pada waktu itu menyasarkan kutipan cukai langsung sebanyak RM127.7 bilion.

Jelas bekas Ketua Pemuda Umno itu, antara komponen utama cukai langsung adalah cukai pendapatan petroleum yang dikenakan ke atas syarikat petroleum huluan (upstream).

“Kerajaan BN menjangkakan hasil cukai petroleum adalah sebanyak RM11.4 bilion dengan andaian harga minyak dunia adalah AS$52.

Artikel Berkaitan:

“Namun bermula Januari 2018, harga minyak dunia telah melambung naik dan tidak sekalipun pada tahun 2018 harga minyak dunia berada pada paras AS$52 ke bawah. Purata harga minyak dunia sepanjang tahun 2018 adalah AS$68,” jelasnya.

Tambah beliau, mengambil kira peningkatan ketara dalam kutipan cukai pendapatan petroleum iaitu sebanyak RM8.32 bilion berbanding anggaran awal, maka tidak hairanlah apabila kutipan cukai langsung meningkat.

“Hasil kutipan bagi cukai langsung lain seperti cukai pendapatan individu, syarikat dan lain-lain dilihat tidak mempunyai perbezaan besar dengan anggaran yang dibuat oleh kerajaan BN pada tahun 2017,” katanya.

Semalam, Lim Guan Eng menerusi satu kenyataan mengumumkan kutipan kasar cukai langsung negara bagi tahun 2018 berjumlah RM137.035 bilion, meningkat sebanyak RM13.733 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, peningkatan sebanyak 11.13 peratus itu mencipta sejarah baharu kutipan cukai negara malah turut mengatasi pencapaian terbaik yang direkodkan pada tahun 2014 berjumlah RM133.700 bilion.

Menurutnya, peningkatan sebegitu jelas merupakan kesan daripada strategi efektif berkaitan percukaian ditetapkan PH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!