Terengganu lanjut pelaksanaan lesen motosikal percuma
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) 2019 sehingga 31 Ogos depan setelah tertangguh hampir tiga bulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program pemberian lesen motosikal percuma kepada rakyat Terengganu yang terpilih itu sepatutnya berakhir 15 Mei lalu.
Menurutnya, kumpulan pertama program itu melibatkan 25,000 peserta bagaimanapun kira-kira 7,000 peserta masih belum selesai menjalani program itu.
"Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) hari ini. Jadi, peserta lesen yang telah menerima surat tawaran diminta untuk menjalani ujian secepat mungkin mengikut institut memandu masing-masing.
"Selepas tarikh itu, kita akan menutupnya kerana kumpulan kedua bagi Program LMTS 2020 akan bermula pada 1 September depan. Bagi LMTS fasa dua ini akan melibatkan 15,000 orang dari lapan daerah," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulan kedua program ini akan mula menerima surat tawaran dari Pejabat Daerah masing-masing bermula akhir bulan Julai.
Katanya, antara penambahbaikan yang dibuat bagi fasa kedua program ini adalah peserta boleh memilih sendiri institut memandu yang terdekat dengan kediaman masing-masing berbanding ditentukan sendiri Pejabat Daerah sebelum ini.
"Kita minta peserta yang terpilih supaya serius dan mengikuti ujian berkomputer, latihan memandu dan ujian lesen bersama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan sebaiknya untuk melayakkan mereka mendapat lesen memandu.
"Kita kesian kerana ramai yang bersungguh-sungguh tapi tak berpeluang menyertai program ini kerana kuota sudah penuh, jadi jangan sia-siakan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, hampir 1,000 peserta fasa satu program itu gagal ujian berkomputer.
"Saya sendiri akan berjumpa dengan Ketua Pengarah JPJ untuk berbincang dan akan minta diberi peluang kepada calon yang gagal untuk mengadakan ujian secara lisan. Ini kerana mereka sudah gagal beberapa kali kerana mempunyai masalah dengan penggunaan komputer," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!