Projek landasan kereta api punca banjir

Sistem saliran yang kecil di kawasan Estet Norh Labis, bandar Labis, Labis, Johor menjadikan air bertakung dan melimpah ke kawasan taman setiap kali hujan lebat.
Sistem saliran yang kecil di kawasan Estet Norh Labis, bandar Labis, Labis, Johor menjadikan air bertakung dan melimpah ke kawasan taman setiap kali hujan lebat.
A
A
A

LABIS - Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) perlu menyelesaikan masalah banjir di taman-taman sekitar bandar Labis yang berpunca daripada projek pembinaan landasan kereta api Gemas-Johor Bahru.

Timbalan Ketua MCA Bahagian Labis, Tan Chong berkata, tinjauan pihaknya mendapati setiap kali hujan lebat akan mengakibatkan banjir kilat kerana sistem perparitan kecil yang tidak dapat menampung kapasiti air.

"Kita lihat kerja-kerja membina landasan itu mengakibatkan lambakan tanah-tanah yang tinggi. Selain itu, sistem perparitan yang dibina akan masuk ke saliran kawasan taman-taman berdekatan bandar Labis.

"Selepas itu akan masuk pula ke saliran kawasan tanah rizab Kementerian Pertahanan dan Estet North Labis sebelum disalurkan ke sungai berhampiran," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tersebut hari ini.

Katanya, aliran di tanah rizab dan kawasan estet itu tidak lancar, tersekat serta menjadi punca takungan di kawasan sekitar terutama Taman Berjaya, Taman Berjaya 1, Taman Wawasan dan Taman Wawasan 1 selain kebun kelapa sawit serta kebun durian.

Apabila hujan berterusan katanya, air naik dengan cepat lalu melimpah ke kawasan penempatan berhampiran selain lambat mengalir ke sungai berdekatan yang kadang-kadang mengambil masa berhari-hari.

Tan Chong berkata, sepatutnya sistem saliran untuk masuk ke sungai itu dibesarkan apatah lagi penduduk di kawasan sekitar semakin bertambah.

Beliau mendakwa, apabila musim panas dan air masih bertakung, keadaan itu berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sekali gus mendatangkan risiko kesihatan kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan mengambil langkah segera mengatasi masalah tersebut kerana sudah lama berlarutan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!