Annuar Musa sedih dengan nasib KAFA
KUALA LUMPUR - Sebagai orang Kelantan, Tan Sri Annuar Musa mengakui beliau sedih dengan nasib Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang berdepan masalah kemerosotan prestasi dan terpalit dengan isu hutang.
Menteri Wilayah Persekutuan itu, yang memimpin KAFA selama lapan tahun (2008-2016), berkata walaupun tidak bersama lagi dengan pasukan tersebut, beliau tetap membantu KAFA secara senyap.
“Sampai sekarang saya membantu, tahun ini tanpa publisiti... Tahun lalu bantu mereka lunaskan caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), dua tahun lepas pun saya bantu. Sebagai orang Kelantan, sudah pasti saya bantu pasukan negeri saya.
“Sekarang saya Menteri Wilayah Persekutuan, jadi KLFA (Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur) pun kena tengok juga. Tetapi buat masa ini, kedua-duanya saya tak masuk campur, nak tumpu pada urusan di kementerian, jaga gelandangan dahulu,” katanya.
Antara kejayaan pada zaman kegemilangan skuad ‘The Red Warriors’ di bawah pimpinan Annuar ialah memenangi treble pada 2012 iaitu muncul sebagai juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.
KAFA berdepan masalah serius apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan mereka menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco de Jesus, Bruno Lopes dan Alaeddine Bouslimi yang berjumlah lebih RM920,000.
Sementara itu, susulan kemelut beberapa pasukan bola sepak dalam saingan Liga-Malaysia (Liga-M) yang masih berpalit dengan isu hutang dan tunggakan gaji, Annuar mengulangi cadangannya agar had gaji pemain ditetapkan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata, penetapan had gaji merupakan antara cara untuk menjaga kemampanan sukan bola sepak negara dengan mengelak peningkatan kos secara mendadak.
“Sekarang ini terjadi begitu kerana pada satu peringkat, kita biarkan bola sepak itu jadi kos tinggi. Bila jadi terlalu mahal, tak boleh ‘sustain,’ bila tak boleh ‘sustain’ jadi terhutang. Bila terhutang, terjadilah seperti apa yang jadi seperti Perlis, Kelantan beberapa pasukan lagi yang menghadapi masalah.
“Kita ada model di negara seperti Jepun dan Australia yang mana gaji pemain tak boleh bebas begitu sahaja, sesetengah negara buat konsep ‘capping,’ setengah negara ada konsep ‘marquee players’... Ada pelbagai cara, yang penting liga nasional hendaklah dikawal selia dengan sewajarnya.
“Ia supaya tidak jadi sesetengah pasukan terlalu hebat sebab ada keupayaan kewangan, sesetengah pasukan terpaksa bergelut, akhirnya liga jadi tak menarik kerana dah tahu kalau lawan dengan pasukan itu, mereka akan menang,” katanya pada sidang media semalam.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, FAM mempunyai kaedah untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu ahli gabungannya yang bermasalah terutama ketika berdepan pandemik koronavirus (Covid-19). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!