YBK, QurbanAid perkenal aplikasi dalam talian mudahkan ibadah korban
PETALING JAYA - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menjalin kerjasama pintar bersama QurbanAid dengan memperkenalkan aplikasi dalam talian bagi memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah korban tahun ini.
Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, setiap tahun ramai yang mampu dan ingin bersama menyertai ibadah korban namun kekangan penyediaan lembu dan kambing tempatan mengakibatkan hajat terpaksa ditunda ke tahun berikutnya.
Menurutnya, dengan wujudnya aplikasi berkenaan, masyarakat Islam khusus jemaah yang tidak dapat menunaikan haji tahun ini tidak perlu khuatir dan risau kerana mereka berpeluang untuk menyempurnakan ibadah korban sebagai ganti.
“Umat Islam di Malaysia digalakkan melaksanakan ibadah korban di bawah program YBK-QurbanAid ini kerana segala urusan diuruskan sepenuhnya oleh kumpulan mahir yang dilantik serta tempahannya lebih mudah, cepat dan telus.
“Semua tempahan dan bayaran boleh dilakukan secara atas talian sepenuhnya dengan mengimbas QR code yang terdapat di Facebook YBK atau boleh hadir ke Rumah YBK bagi bertemu dengan wakil dilantik,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Qurban YBK-QurbanAid 2020, di Rumah YBK di Kelana Jaya di sini hari ini.
Zainal berkata, program itu adalah satu inisiatif membantu komuniti Muslim di negara yang mempunyai kos sara hidup rendah, ramai fakir dan sangat memerlukan.
“Antara negara yang terlibat adalah Tanzania, Malawi, Indonesia, India, Sudan, Filipina, Bangladesh, Rohingya dan Kemboja. Adalah satu nilai pengorbanan yang tinggi memberi saudara semuslim memerlukan menikmati daging korban tersebut.
“Kos yang dikenakan juga berpatutan dan lebih murah iaitu RM299 bagi sebahagian lembu, seekor lembu (tujuh bahagian) RM2,093 manakala seekor kambing RM599,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, penularan wabak koronavirus (Covid-19) tahun ini menyebabkan kerajaan Malaysia tidak menghantar jemaah menunaikan haji bagi menjaga keselamatan dan kesihatan.
Menurutnya, mereka yang terpilih tetapi tidak dapat melaksanakan ibadah haji tahun ini boleh mengambil peluang melaksanakan ibadah korban.
“Ibadat haji merupakan rukun Islam kelima berkait rapat dengan syarat istito’ah iaitu berkemampuan menunaikan haji daripada aspek kesihatan, keselamatan, keizinan melakukan perjalanan ke tanah suci dan kewangan.
“Namun dengan penularan wabak tahun ini, kerajaan Malaysia tidak dapat menghantar kira-kira 31,600 jemaah bagi menjaga keselamatan dan kesihatan. Ia adalah satu pembakar semangat terbaik kepada mereka yang terpilih tetapi tidak dapat melaksanakannya pada tahun ini dengan mengambil peluang melaksanakan ibadah korban,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!