Balasubramaniam wakil pertama DHPP dalam Dewan Negara

Balasubramaniam (dua dari kanan) antara lima individu yang mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara semalam. - Foto Bernama
Balasubramaniam (dua dari kanan) antara lima individu yang mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelantikan Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat (DHPP), Senator N Balasubramaniam sebagai Ahli Dewan Negara menjadi detik sejarah yang bermakna buat DHPP kerana untuk pertama kalinya seorang bukan Islam mewakili Pas dalam Dewan Negara.

Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran G Krishnan berkata, ia secara tidak langsung akan mewujudkan keyakinan kepada pengundi bukan Islam untuk memberi kepercayaan kepada Pas dalam memimpin negara.

Menurutnya, pelantikan itu juga meranapkan pemikiran segelintir ahli politik yang berpendapat bahawa Pas hanya mempergunakan DHPP untuk meraih undi bukan Islam.

Dr Balachandran
Dr Balachandran

"DHPP ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kepimpinan yang memberikan kepercayaan kepada DHPP dan masyarakat bukan Islam untuk terlibat secara langsung dalam mengorak langkah mendokong Pas dalam menjaga kepentingan dan kebajikan bukan Islam agar rahmat dinikmati semua.

"Ia juga merupakan satu penghormatan yang bakal menonjolkan DHPP sebagai satu entiti politik yang akan menjadi cabaran kepada badan politik bukan Islam yang sedia ada supaya berteraskan kepimpinan yang mengambil kira perhitungan dosa dan pahala," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Jelas Dr Balachandran, DHPP menaruh harapan kepada Senator N Balasubramaniam untuk menonjolkan bahawa keadilan yang disirami dengan kasih sayang menjadi tonggak utama pentadbiran Islam yang dibawa oleh Pas.

Katanya, DHPP akan berusaha menjadi jambatan yang menghubungkan warga bukan Islam dengan pemimpin Pas dalam merealisasikan prinsip Islam memimpin perpaduan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Semoga Senator N Balasubramaniam dipermudahkan segala urusan untuk memainkan peranan yang aktif dalam membendung isu perkauman yang cukup menggugat perpaduan kaum di negara ini serta menjadikan Malaysia selamat, harmoni, berkat dan sejahtera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!