Bekas guru besar dijel empat tahun, denda RM10,000

Tertuduh, Zabidah Sulaiman sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan melakukan pecah amanah wang zakat berjumlah RM5,000. (Gambar fail Sinar Harian)
Tertuduh, Zabidah Sulaiman sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan melakukan pecah amanah wang zakat berjumlah RM5,000. (Gambar fail Sinar Harian)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengenepikan keputusan pembebasan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen ke atas bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh Baru 2, Kemaman, Zabidah Sulaiman atas kesalahan pecah amanah wang zakat berjumlah RM5,000.

Hakim Datuk Abd Wahab Mohamed menggantikan keputusan itu dengan hukuman empat tahun penjara dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara tambahan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah menerima rayuan permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara untuk membolehkan pihak responden (Zabidah) memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya dengan membenarkan dia diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu pada 13 Jun 2019, Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan responden atas pertuduhan salah guna wang zakat sebanyak RM5,000, lima tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Jamaludin Mat selepas mendapati tertuduh tidak bersalah di akhir pembelaan kes membabitkan zakat sumbangan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (Ladang Rakyat).

Zabidah didakwa menyalahgunakan wang zakat daripada Ladang Rakyat yang diterima dan sepatutnya disumbangkan kepada 100 murid sekolah berkenaan di bilik mesyuarat syarikat Ladang Rakyat di Kemaman pada 13 Julai 2015.

Dia didakwa mengemukakan borang akuan terima palsu kepada syarikat berkenaan berkaitan peruntukan sumbangan itu walhal wang zakat berkenaan tidak disalurkan kepada pelajar miskin sekolah tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Zabidah yang diwakili peguam Masliela Ismail dan Ghazali Ismail dari Ghazali Ismail & Co sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika didakwa pada 4 Januari 2018 dan dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin oleh Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!